Konsert VIVIZ di Kuala Lumpur: Tiket Mula Dijual 4 September

Kumpulan K-pop popular, VIVIZ yang dianggotai oleh Eunha, SinB dan Umji bakal menemui peminat di Malaysia buat julung kalinya menerusi konsert jelajah dunia kedua mereka. Konsert berjudul 2025 VIVIZ WORLD TOUR [NEW LEGACY] in MALAYSIA ini dianjurkan oleh TopGallant Show dan dijadual berlangsung pada 25 Oktober 2025 (Sabtu), jam 5 petang di idea Live Arena, Kuala Lumpur.

Kehadiran VIVIZ ke Malaysia menjadi penantian panjang peminat setia mereka yang dikenali sebagai Na.V. Konsert ini bukan sahaja menandakan penampilan pertama trio tersebut di negara ini, malah berlangsung pada tahun paling bermakna dalam perjalanan karier mereka. Tahun 2025 menyaksikan detik penting buat VIVIZ dengan pelancaran album studio pertama berjudul A Montage of ( ) yang menampilkan lagu utama “La La Love Me” serta lagu solo setiap ahli iaitu “Hipnotic” oleh SinB, “Love Language” oleh Umji dan “Milky Way” oleh Eunha. Lebih istimewa, tahun ini juga menjadi momen penuh nostalgia apabila mereka kembali bersatu bersama bekas kumpulan mereka, GFRIEND, sempena ulang tahun ke-10.

VIVIZ, singkatan kepada “Vivid dayZ” dan disebut sebagai “vee-vee-zee”, mula mencipta fenomena sejak debut pada 2022 di bawah naungan BPM Entertainment dengan single sulung Bop Bop! daripada mini album pertama Beam of Prism. Hanya seminggu selepas debut, mereka berjaya meraih kemenangan pertama di program muzik, sekali gus membuktikan aura dan daya tarik mereka. Nama VIVIZ turut terpahat dalam sejarah apabila menjadi kumpulan K-pop wanita pertama membuat persembahan dalam siri Global Spin anjuran Grammy. Kemunculan mereka dalam rancangan realiti popular Queendom 2 turut melonjakkan populariti global, diikuti siri mini album lain seperti Summer Vibe (2022), VarioUS dan VERSUS (2023), serta VOYAGE (2024) yang melahirkan lagu-lagu kegemaran peminat seperti “MANIAC”, “Untie”, “Shhh!”, “PULL Up” dan banyak lagi.

Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 4 September 2025 (Khamis), jam 12 tengah hari melalui platform my.bookmyshow.com, Fantopia, Ctrip dan Trip.com. Harga tiket bermula daripada RM338 hingga RM738, dengan setiap kategori disertakan pelbagai manfaat eksklusif untuk peminat termasuk akses ke sesi Sound Check, peluang Hi-Bye bersama artis, barangan istimewa seperti photocard, poster serta polaroid bertandatangan bagi peminat bertuah.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi www.topgallantshow.com atau mengikuti akaun rasmi TopGallant Show di TikTok (@topgallant.show), Instagram (@topgallantshow.tgs) dan Facebook (@TopGallantShow) bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai konsert ini.