Iga Bakar Hingga Pukis, AVOCake Pukis & Delight Bawa Pelbagai Sajian Indonesia ke KL

Written by

in

AVOCake Pukis & Delight tampil sebagai destinasi kulinari baharu buat penggemar makanan Indonesia di Malaysia dengan menghimpunkan pelbagai sajian ikonik dan hidangan popular dari seluruh pelosok Republik Indonesia dalam satu lokasi.

Restoran berkonsepkan family dining ini menawarkan kepelbagaian cita rasa Nusantara menerusi menu seperti Iga Bakar, Nasi Iga Goreng, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar Ikan, Nasi Bakar Ayam, Sempol Ayam, Sempol Daging, Set Sup Janda, Sup Konro, Mi Ayam Cireng, Cilok, Tempe Mendoan, Batagor, Tauhu Goreng Crispy, Pukis, Bakwan dan Somai.

Selain hidangan utama, AVOCake Pukis & Delight turut mengetengahkan pilihan manisan serta minuman berasaskan buah avokado yang menjadi antara tarikan istimewa restoran berkenaan.

Diasaskan oleh Dr. Shamsiah Yaakob dan Mohd Azri Ahmad Kamil selaku pengarah bersama, majlis perasmian dan pelancaran AVOCake Pukis & Delight turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa rakan selebriti termasuk Ellie Suriaty, Saiful Apek, Raja Azmi dan Rosnan Rahman.

Restoran ini juga mendapat sokongan daripada selebriti dan ahli politik Indonesia, Ratieh Sanggarwaty Zen, yang merupakan antara pelabur dan pembiaya restoran bersama rakan-rakan pelabur lain iaitu Andi Nilawati Bau Rifai, Soraya Roshanty Yoesoef serta Eny Martuti Kamidjo.

Menurut Dr. Shamsiah Yaakob, penubuhan AVOCake Pukis & Delight tercetus daripada minat mendalam terhadap kekayaan warisan makanan Indonesia serta keinginan untuk memperkenalkan sajian yang mempunyai nilai tradisi, kreativiti dan keunikan tersendiri kepada masyarakat Malaysia.

Indonesia mempunyai khazanah kulinari yang sangat luas, dengan setiap daerah memiliki keistimewaan masing-masing. Justeru, AVOCake Pukis & Delight diwujudkan bagi membawa hidangan yang dekat dengan jiwa masyarakat Indonesia untuk dinikmati pelanggan di Malaysia.

Pengalaman Dr. Shamsiah sepanjang tujuh tahun menetap di Indonesia turut menjadi asas penting kepada penghasilan konsep restoran ini. Ketika berada di negara berkenaan, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro, Semarang, selain mempunyai pengalaman bersama beberapa syarikat swasta.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau mengambil peluang mempelajari sendiri kaedah penyediaan pelbagai sajian tempatan Indonesia. Pengalaman itu bukan sahaja memperkayakan pengetahuannya mengenai kepelbagaian kulinari Indonesia, malah menjadi inspirasi untuk mengetengahkan cita rasa berkenaan kepada masyarakat Malaysia.

Menurut Dr. Shamsiah, minat terhadap dunia masakan menjadi antara pencetus kepada idea untuk menjadikan pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang berada di Indonesia sebagai sebuah perniagaan.

Pada tahun 2025, beliau mula memikirkan untuk membuka perniagaan makanan yang membawa cita rasa Indonesia ke Malaysia. Dalam masa sama, beliau turut menyimpan impian untuk suatu hari nanti membawa makanan Malaysia pula ke Indonesia.

Langkah pertama merealisasikan impian tersebut bermula dengan pembukaan sebuah outlet kecil AVOCake Pukis & Delight di UTC Ampangan, Seremban. Sambutan menggalakkan daripada pelanggan kemudian mendorong beliau membuka sebuah lagi restoran di kawasan Sikamat, Seremban pada penghujung Disember tahun lalu.

Pembukaan restoran di Kuala Lumpur pula tercetus selepas Ratieh Sanggarwaty Zen, Presiden Komunitas Ibu Cerdas Indonesia (KICI), bersama kumpulannya berkunjung ke restoran AVOCake Pukis & Delight di Sikamat.

Pertemuan tersebut membuka peluang kepada perbincangan mengenai potensi membawa konsep berkenaan ke Kuala Lumpur. Hasil kerjasama bersama Ratieh serta beberapa rakan pelabur, akhirnya terhasil AVOCake Pukis & Delight di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah Bersama AVOCake Pukis & Delight, Mohd Azri Ahmad Kamil berkata, pemilihan menu dilakukan dengan teliti bagi memastikan pelanggan bukan sahaja dapat menikmati hidangan popular Indonesia, malah merasai sajian yang mempunyai tarikan tersendiri dalam landskap kulinari semasa.

Menurut beliau, perkembangan makanan Indonesia yang semakin mendapat perhatian di rantau ini turut menjadi antara faktor restoran tersebut mengetengahkan pelbagai hidangan yang mempunyai keunikan rasa, persembahan serta kisah tersendiri.

AVOCake Pukis & Delight bukan sekadar menawarkan pengalaman menikmati makanan, malah menyasarkan untuk menjadi ruang santapan yang meraikan budaya, komuniti dan pengalaman gastronomi berkualiti.

Dengan membawa semangat “rasa Indonesia, pengalaman istimewa”, restoran ini diharap mampu menjadi salah satu destinasi pilihan pencinta makanan yang ingin menikmati kepelbagaian kulinari Nusantara di Kuala Lumpur.