HSS Holdings Rekod Hasil RM25.7 Juta pada Suku Kedua TK2026

Written by

in

HSS Holdings Berhad (“HSS Holdings” atau “Kumpulan”), sebuah syarikat produk bakeri yang terlibat terutamanya dalam penyumberan, perdagangan dan pembuatan produk bakeri, mencatatkan hasil sebanyak RM25.7 juta dan keuntungan kasar (GP) sebanyak RM4.5 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (S2TK2026).

Hasil tersebut lebih rendah berbanding RM48.1 juta yang direkodkan pada suku pertama tahun kewangan 2026 (S1TK2026), yang mendapat manfaat daripada permintaan lebih kukuh berikutan musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya. Prestasi S2TK2026 pula mencerminkan keadaan permintaan yang lebih sederhana seperti lazimnya berlaku dalam tempoh luar puncak.

Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM2.4 juta bagi S2TK2026, berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM5.6 juta pada S1TK2026. Prestasi tersebut dipengaruhi terutamanya oleh hasil yang lebih rendah semasa tempoh luar puncak serta pengiktirafan kira-kira RM2.9 juta dalam perbelanjaan sekali sahaja berkaitan penyenaraian HSS Holdings di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 23 Jun 2026.

Tidak termasuk perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja tersebut, Kumpulan akan mencatatkan PBT terlaras kira-kira RM0.5 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY2026), HSS Holdings mencatatkan hasil sebanyak RM73.8 juta dan keuntungan kasar sebanyak RM14.3 juta.

Menurut Pengarah Urusan HSS Holdings, Goh Chen Chang, prestasi suku kedua perlu dilihat berdasarkan sifat bermusim perniagaan Kumpulan, memandangkan suku pertama mendapat manfaat daripada permintaan lebih tinggi semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya.

Selain itu, keputusan suku kedua turut dipengaruhi oleh perbelanjaan sekali sahaja berkaitan penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia.

Susulan kejayaan penyenaraian tersebut, HSS Holdings kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif pertumbuhan yang digariskan dalam prospektus syarikat. Sebahagian daripada hasil IPO akan digunakan untuk memperkukuh keupayaan pengeluaran, termasuk membangunkan barisan pengeluaran biskut baharu, menaik taraf barisan pengeluaran biskut sedia ada, melaksanakan automasi bahagian belakang bagi proses pengeluaran terpilih serta membangunkan barisan pengeluaran kek automatik baharu.

Pelaburan ini dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran, mempertingkat kecekapan operasi dan memperluaskan rangkaian produk HSS Holdings.

Prospek pasaran produk bakeri Malaysia juga kekal positif. Berdasarkan Laporan Penyelidikan Pasaran Bebas yang didedahkan dalam prospektus HSS Holdings, pasaran produk bakeri Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7.8% dari 2026 hingga 2030, dengan nilai pasaran diunjurkan mencecah kira-kira RM34.80 bilion menjelang 2030.

HSS Holdings melihat pertumbuhan pasaran tersebut sebagai peluang untuk mengukuhkan kehadiran syarikat serta meningkatkan bahagian pasaran. Selain pengembangan kapasiti, Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada inovasi produk, pengembangan pasaran, pembangunan jenama dan peningkatan operasi.

Langkah-langkah tersebut dijangka membantu HSS Holdings memperkukuh kedudukan daya saing serta menyokong pertumbuhan jangka panjang Kumpulan dalam pasaran produk bakeri Malaysia.