Peminat filem tempatan bakal disajikan dengan sebuah naskhah penuh emosi dan mendebarkan menerusi filem terbaharu, BAGA: Esok Untuk Siapa, yang kini mula mencuri perhatian selepas trailer rasminya dilancarkan pada 9 Oktober 2026, jam 8 malam, menerusi platform media sosial Primeworks Studios.
Mengangkat genre drama jenayah, filem ini mengetengahkan kisah kehidupan masyarakat di sebuah perkampungan konservatif, dengan konflik yang menyentuh soal cinta, kemiskinan, tekanan sosial dan keputusan sukar yang mampu mengubah masa depan seseorang.
BAGA: Esok Untuk Siapa diterbitkan oleh Syafiq Yusof bersama Syafiq Kyle menerusi Indigo Films Sdn Bhd, dengan arahan Ariff Zulkarnain. Pengedaran filem ini dikendalikan SKOP Productions Sdn Bhd, manakala urusan pemasaran dilaksanakan Primeworks Studios Sdn Bhd.
Filem ini menampilkan Amir Ahnaf sebagai Jani dan Amirah Razak sebagai Melur, dua anak muda yang terpaksa berdepan ujian besar apabila hubungan cinta mereka berubah selepas berlakunya kehamilan yang tidak dirancang.
Keadaan tersebut meletakkan pasangan berkenaan dalam situasi sukar apabila mereka perlu memikirkan masa depan dalam persekitaran yang masih kuat berpegang kepada norma dan tradisi masyarakat setempat.
Demi mencari jalan keluar daripada kesempitan hidup, Jani akhirnya mengambil keputusan berbahaya dengan melibatkan diri dalam kegiatan perdagangan dadah, sekali gus membuka ruang kepada konflik yang semakin rumit.
Menerusi trailer yang dipertontonkan, penonton dapat melihat bagaimana hubungan Jani dan Melur diuji oleh pelbagai cabaran, termasuk kemiskinan, ketagihan dan tekanan masyarakat yang membataskan peluang mereka untuk mengubah kehidupan.
Setiap keputusan yang dibuat bukan sahaja memberi kesan terhadap hubungan mereka, malah berpotensi menentukan masa depan kedua-duanya dalam dunia yang semakin menghimpit.
Selain gandingan Amir Ahnaf dan Amirah Razak, BAGA: Esok Untuk Siapa turut dibintangi barisan pelakon berpengalaman seperti Wan Hanafi Su yang membawakan watak Pok Awang, Cech Adrea sebagai Ajih, Kimal Mokhtar sebagai Buyan dan Idham Maulana sebagai Pok Cech.
Turut menjayakan filem ini ialah Asrulfaizal sebagai Maliki dan Mat Over sebagai Pok Hassan, sekali gus memperkukuh penceritaan menerusi gabungan pelakon daripada pelbagai generasi.
Di bawah arahan Ariff Zulkarnain, BAGA: Esok Untuk Siapa berusaha membawa penonton mendekati realiti kehidupan yang jarang diketengahkan dalam filem arus perdana tempatan, khususnya mengenai perjuangan golongan muda yang terperangkap antara cinta, tanggungjawab dan desakan hidup.
Pelancaran trailer rasmi itu turut memberikan gambaran awal mengenai pendekatan penceritaan yang lebih berani, dengan menampilkan sisi kehidupan masyarakat yang tidak terlepas daripada konflik sosial serta akibat daripada keputusan yang dibuat dalam keadaan terdesak.
Bagi peminat yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan Jani dan Melur, trailer rasmi BAGA: Esok Untuk Siapa kini boleh ditonton menerusi platform media sosial Primeworks Studios.
Filem BAGA: Esok Untuk Siapa dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026, dengan mengetengahkan persoalan mengenai sejauh mana seseorang sanggup berkorban demi cinta dan masa depan yang belum pasti.











