Sorakan gemuruh 10,000 penonton memecah ruang Unifi Arena, Bukit Jalil apabila figura legenda, Dato’ M. Nasir, melangkah ke pentas Konsert Faizal Tahir Suara Rakyat tanpa sebarang hebahan awal.
Kejutan terbesar malam itu menyaksikan Dato’ M. Nasir dan Faizal Tahir bergabung tenaga mendendangkan lagu Campak Bintang, mencetuskan fenomena luar biasa yang mempertemukan dua generasi pengkarya agung negara dalam satu pentas bersejarah. Kehadiran sifu muzik itu bukan sahaja menghidupkan konsert, malah mengangkat nilai pengiktirafan terhadap sumbangan tokoh seni yang membentuk landskap muzik Malaysia.
Di samping ledakan magis bersama Dato’ M. Nasir, konsert turut membawa nilai sentimental tinggi menerusi kemunculan semula kumpulan Mirwana. Gandingan Faizal bersama bekas kumpulannya itu menerusi Aku Tanpa Cintamu dan Biar Satu Dunia Tahu membawa penonton mengimbau kembali fasa awal sebelum namanya meledak sebagai penyanyi solo. Malam tersebut digerakkan dengan persembahan hampir 30 buah lagu yang disusun rapi, bermula daripada Batu & Golek dan Gemuruh, disusuli himpunan lagu hit seperti Karma, Anti Gravity, Sejati, Sampai Syurga sehinggalah Santai.

Suasana kemudian bertukar megah dan penuh penghayatan sewaktu segmen Negaraku, Malaysia dipersembahkan, memperlihatkan ribuan penonton bernyanyi bersama dalam satu jiwa. Selepas aksi bertenaga tanpa henti, Faizal memilih pendekatan intim untuk mengakhiri malam menerusi lagu encore Mahakarya serta Bila Lagi Nak Jumpa. Faizal menyifatkan kehadiran peminat serta figura hebat seperti M. Nasir dan Mirwana sebagai bukti bahawa konsert ini adalah milik bersama, diraikan oleh 10,000 suara yang setia menyokong perjalanan seninya selama dua dekad.









