MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

DOSM RAIH PENSIJILAN GLOBAL, PERKUKUH TADBIR URUS DATA NEGARA

4 min read

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir (tengah) bersama penerima pensijilan antarabangsa Certified Data Management Professionals (CDMP)

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terus memperkukuh tadbir urus dan pengurusan data apabila empat pegawainya berjaya memperoleh pensijilan antarabangsa Certified Data Management Professional (CDMP) yang dianugerahkan oleh DAMA International. Pensijilan ini merupakan penanda aras global dalam bidang pengurusan data, merangkumi domain kritikal seperti tadbir urus data, seni bina data, kualiti data, pengurusan metadata dan pemodelan data. Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan DOSM dalam membangunkan ekosistem data yang bersepadu, dipercayai dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah sistem statistik yang berdaya tahan, saling beroperasi dan dipacu kecerdasan data.

Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyifatkan kejayaan ini sebagai langkah strategik dalam memperkukuh asas data sektor awam. Menurut beliau, tadbir urus data yang mantap amat penting bagi memastikan penyediaan data berkualiti tinggi, standard dan boleh digunakan merentasi keseluruhan rantaian nilai statistik. Pensijilan CDMP bukan sahaja melengkapkan pegawai DOSM dengan kepakaran bertaraf dunia, malah memperkukuh peranan jabatan itu sebagai sumber statistik rasmi negara yang dipercayai.

Pencapaian ini juga hadir seiring dengan usaha pemodenan data yang sedang dipacu DOSM melalui pelbagai inisiatif utama seperti Statistics Data Warehouse (StatsDW), OpenDOSM NextGen, TaniStats 2.0 dan DOSM GEOHUB. Pegawai bertauliah CDMP dijangka memainkan peranan penting dalam mempertingkat integrasi data, memperkemas pengurusan kitar hayat data serta mengukuhkan infrastruktur statistik merentasi semua domain. Kepakaran ini akan menyokong pembentukan dasar yang lebih telus, menyeluruh dan berasaskan bukti, sekali gus menyumbang kepada tadbir urus negara yang lebih berkesan.

Dalam konteks serantau, peningkatan kapasiti tadbir urus data ini turut menyokong peranan Malaysia sebagai Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) pada tahun 2025. Usaha memperkasa tadbir urus data di DOSM membantu menggalakkan keseragaman, kebolehoperasian dan kerjasama serantau, yang merupakan elemen penting dalam membangunkan ekosistem statistik ASEAN yang bersepadu dan dipercayai. Kejayaan Malaysia menduduki tempat pertama dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch turut mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju global dalam keterbukaan dan pengurusan data, dengan OpenDOSM NextGen terus menjadi platform utama untuk akses, analisis dan visualisasi data nasional.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.