Cipta Raya: Konsert Raya Pertama Di Malaysia Yang Bakal Mengukir Sejarah

Konsert raya pertama di Malaysia bakal berlangsung pada 13 April 2025 apabila Cipta Raya dianjurkan di Zepp KL. Konsert yang membawa Dato’ M. Nasir sebagai bintang utama ini bakal mempersembahkan rangkaian lagu-lagu raya dalam suasana konsert berskala besar, sekali gus mencipta sejarah dalam industri hiburan tempatan.

Penganjuran konsert ini adalah cetusan idea daripada kejayaan Konsert Cipta 2, di mana persembahan lagu Satu Hari Di Hari Raya oleh M. Nasir mendapat sambutan luar biasa dan tular di media sosial. Icon Entertainment melihat potensi besar dalam konsep ini dan mengambil langkah berani untuk mengangkat lagu-lagu raya ke pentas yang lebih gah.

Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu perayaan seni yang membuktikan bahawa lagu-lagu raya juga mempunyai nilai yang tinggi dan boleh diraikan dalam skala yang lebih besar. Sebanyak 20 lagu akan dipersembahkan, dengan 17 daripadanya merupakan lagu raya ikonik. Ini termasuk lagu ciptaan M. Nasir sendiri serta lagu raya yang sering menjadi pilihan pendengar setiap tahun.

Lebih istimewa, setiap pembelian tiket membolehkan peminat menikmati juadah raya sebelum konsert bermula. Konsep ini diilhamkan bagi memberi pengalaman yang lebih dekat dengan suasana rumah terbuka Aidilfitri, menjadikan konsert ini lebih daripada sekadar persembahan muzik biasa.

Menurut Dato’ M. Nasir, Cipta Raya adalah simbolik kepada perayaan muzik yang menghubungkan kenangan dan emosi. Beliau melihat konsert ini sebagai peluang untuk merayakan karya-karya muzik yang telah menjadi sebahagian daripada budaya kita.

Dengan konsep yang segar dan belum pernah dilakukan sebelum ini, Cipta Raya dijangka menarik perhatian peminat dari pelbagai generasi. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini dan menyaksikan kehebatan Cipta Raya secara langsung!