MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

Anda Tentukan Lagu Ella! Konsert “Sidang Penutup” Bawa Konsep Interaktif Luar Biasa Buat Peminat Rock

Buat julung kalinya, Ratu Rock negara Ella, memberikan kuasa kepada peminat untuk menentukan senarai lagu dan tema persembahan menerusi konsep “Audience Choice” bagi konsert kemuncaknya, “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella iaitu “Sidang Penutup” pada 5 Disember 2026 di Unifi Arena.

Inisiatif anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen ini adalah manifestasi penghargaan Ella terhadap sokongan padu lebih 70,000 penonton yang hadir ke siri persembahannya di Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang sepanjang tahun ini. Dengan pendekatan baharu ini, konsert Sidang Penutup bukan sekadar hiburan pasif, sebaliknya mengangkat peminat sebagai rakan kreatif persembahan.

Ketua Projek Khas Hitman Solutions, En. Keeran D berkata, “Kami mahu menjadikan peminat sebahagian daripada kemuncak perjalanan ini. Kami mahu semua yang hadir merasakan bahawa malam ini juga milik mereka kerana tanpa peminat, perjalanan ini tidak mungkin mencapai kejayaan.”

Konsert ini juga tidak lari dari menyampaikan mesej “Peace.Love.Rindu” yang menjadi identiti siri Majlis Tertinggi Rockqueen. Turut memeriahkan pentas Unifi Arena nanti adalah kemunculan rakan seperjuangan, Yuna dan Datuk Ziana Zain yang pastinya melengkapkan emosi pada malam tersebut.

Pembelian tiket akan dibuka mulai 22 Oktober 2026 di www.hitmanlive.com dengan harga bermula daripada RM179. Inilah masanya untuk peminat tegar bersuara dan memilih karya agung kegemaran masing-masing untuk didendangkan secara langsung.