Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mempertahankan cadangan penubuhan Dana Eksport Muzik Malaysia sambil menolak dakwaan kononnya inisiatif tersebut bercanggah dengan pembangunan pasaran domestik. RIM menegaskan promosi tempatan dan pengantarabangsaan muzik saling melengkapi seperti model kejayaan industri muzik Korea Selatan dan Jepun.
RIM menolak pandangan yang memperkecil potensi antarabangsa artis Malaysia. Rekod kejayaan telah pun dibuktikan oleh barisan artis tempatan seperti Yuna yang menembusi pasaran Amerika Syarikat, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menjual jutaan album serantau. Termasuklah kejayaan Fish Leong, Shila Amzah, Firdhaus, Mugen Rao, Heerraa Ravindran dan Tuni Sundatang di persada global. Mengabaikan kejayaan ini disifatkan tidak menghargai pencapaian bakat tempatan.
Menurut RIM, landskap industri muzik kini banyak berubah melalui platform penstriman global. Bantuan dana awam amat mustahak bagi menampung kos persembahan luar negara, pemasaran antarabangsa serta kolaborasi rentas sempadan yang sukar ditanggung secara individu.
RIM menegaskan pembiayaan kerajaan untuk promosi mempunyai objektif berbeza daripada sistem kutipan royalti. Kedua-dua fungsi ini perlu bergerak seiring dengan tadbir urus berasaskan ukuran pulangan jelas, tanpa melaga-lagakan aspek akauntabiliti dan keperluan pelaburan dana jangka panjang bagi melonjakkan ekonomi kreatif negara.











