MBPJ Sambut Dua Dekad Status Bandar Raya Dengan Festival Komuniti, Inovasi dan Kelestarian
7 min read
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun 2026 bagi memperingati dua dekad pengisytiharan Petaling Jaya sebagai bandar raya pada 20 Jun 2006. Sambutan selama enam hari itu bakal menampilkan pelbagai program yang memberi tumpuan kepada pembelajaran sepanjang hayat, transformasi digital, pembangunan komuniti, kelestarian alam sekitar serta penghayatan budaya, melibatkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Datuk Bandar Petaling Jaya, YBhg. Dato’ Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon berkata, sambutan tersebut bukan sekadar mengenang perjalanan pembangunan bandar raya itu, malah menjadi platform untuk memperkukuh semangat kebersamaan serta memperbaharui komitmen ke arah masa depan yang lebih mampan, pintar, berdaya tahan dan sejahtera. Menurut beliau, kejayaan Petaling Jaya sepanjang dua dekad lalu adalah hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta dan pelbagai pihak berkepentingan yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan bandar raya tersebut.
“Festival ini merupakan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan penting dalam membentuk Petaling Jaya sebagai bandar raya yang progresif dan berdaya saing,” katanya ketika Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Dewan Sivik MBPJ hari ini. Beliau turut menegaskan bahawa MBPJ akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam, memperkasakan komuniti serta memanfaatkan teknologi dan inovasi demi memastikan Petaling Jaya kekal sebagai bandar raya pilihan untuk didiami, bekerja, belajar dan beriadah.
Sepanjang tempoh 20 tahun lalu, Petaling Jaya berkembang sebagai antara bandar raya utama negara yang menjadi pusat ekonomi, pendidikan, kesihatan, inovasi dan perkhidmatan. Dengan keluasan 97.2 kilometer persegi serta populasi seramai 807,879 penduduk setakat Januari 2024, bandar raya ini terus memainkan peranan penting sebagai pemacu pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.
Seiring dengan pertumbuhan tersebut, MBPJ telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan mampan, pendigitalan, pengurusan alam sekitar, mobiliti bandar dan pengukuhan daya tahan komuniti. Komitmen berterusan itu turut membolehkan Petaling Jaya meraih pelbagai pengiktirafan berprestij di peringkat nasional dan antarabangsa. Antaranya, Petaling Jaya menjadi bandar raya pertama di Malaysia yang diterima sebagai ahli UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC) serta diiktiraf sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh UNICEF.
Sepanjang festival ini, sebanyak 11 program utama dan enam perkhidmatan percuma akan ditawarkan kepada orang ramai. Antara tarikan utama ialah PJ Learning City Festival 2026 yang mengetengahkan pelbagai program pembelajaran sepanjang hayat termasuk forum pendidikan, literasi digital, pembangunan kemahiran, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan sesi perkongsian ilmu.
Selain itu, PJ Digital 2026 bakal menampilkan pelbagai pameran teknologi dan inovasi ICT, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti interaktif serta pertandingan e-sukan sebagai usaha memperkukuh literasi digital dalam kalangan masyarakat. Agenda kelestarian pula diperkasakan menerusi pelbagai aktiviti alam sekitar seperti Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza, program Trash to Cash, pengumpulan e-Waste, kutipan minyak masak terpakai, bengkel kitar semula serta pelbagai inisiatif ekonomi kitaran. Festival ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti komuniti dan kebudayaan termasuk festival makanan, persembahan seni budaya, persembahan buskers, program kesihatan, aktiviti kekeluargaan, zon kanak-kanak, pertandingan LEGO Robotics serta program khas untuk warga emas.
Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin menerusi Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang bakal menghimpunkan komuniti daripada pelbagai sektor termasuk institusi pendidikan, sektor kesihatan, industri perhotelan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi strategik. Sebagai penghargaan kepada warga kota, MBPJ turut menawarkan beberapa inisiatif khas sepanjang tempoh sambutan termasuk kemudahan tempat letak kereta percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta agihan anak pokok, baja kompos organik dan abate kepada orang ramai.

Dalam majlis prapelancaran yang berlangsung hari ini, MBPJ turut melancarkan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 sebagai platform pengiktirafan kepada komuniti yang aktif melaksanakan amalan kelestarian dan pembangunan mampan di peringkat setempat. Turut berlangsung penyampaian Anugerah Persada Inovasi MBPJ 2026 kepada Kumpulan Kreatif dan Inovatif MBPJ serta penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mereka Cipta Logo Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun 2026 serta menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang dan platform media sosial rasmi MBPJ.