Usahasama Global: Inovasi Kolagen Nano Biri-Biri dari Australia Kini Menembusi Dunia
4 min read
Dua pemain industri yang berakar umbi di Malaysia serta disenaraikan di bursa antarabangsa kini bergabung tenaga untuk memacu inovasi dalam sektor kesihatan global, anti-penuaan dan kesejahteraan. Holista Colltech Limited (ASX: HCT) dan Swang Chai Chuan Limited (HKEX:2321) secara rasmi mengumumkan penubuhan usahasama strategik 50:50 melalui Ovicoll Pty Ltd, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam usaha memperluaskan kejayaan serantau mereka ke pasaran global.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan pengeluaran kolagen nano berasaskan biri-biri yang berteknologi tinggi di Collie, Australia Barat. Usahasama ini menggabungkan kekuatan kedua-dua pihak, iaitu kepakaran saintifik serta inovasi bioteknologi daripada Holista Colltech yang tersenarai di Australia, bersama kekuatan modal dan rangkaian pengedaran luas Swang Chai Chuan yang tersenarai di Hong Kong.
Antara kelebihan utama perikatan strategik ini ialah pembangunan kolagen berasaskan ovine (biri-biri) yang bersifat neutral dari segi budaya dan agama, menjadikannya diterima secara universal serta berpotensi sebagai alternatif “halal” untuk pasaran global. Selain itu, kemudahan ini turut memanfaatkan kelebihan biosekuriti bertaraf dunia di Australia, yang menempatkan satu-satunya populasi biri-biri di dunia yang diperakui bebas Scrapie dan mempunyai risiko BSE yang sangat rendah menurut Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).

Keunikan ini diperkukuh lagi dengan kawalan sempadan ketat Australia sejak penubuhan persekutuannya pada tahun 1901, yang membantu mengekalkan status bebas penyakit tersebut. Usahasama Ovicoll Pty Ltd ini turut direka untuk mempercepatkan pengembangan pasaran global dengan memanfaatkan kekuatan gabungan kedua-dua syarikat dalam penembusan pasaran antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada strategi komersial, Holista turut memeterai perjanjian dengan Regenerex Pharma, sebuah syarikat yang sedang berkembang dalam sektor pembalut luka, bagi memperluaskan aplikasi teknologi kolagen ini dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan.

Holista Colltech Limited (ASX: HCT) ialah syarikat kesihatan dan kesejahteraan yang disenaraikan di Australia dengan operasi utama di Malaysia. Syarikat ini memberi tumpuan kepada penyelesaian bioteknologi berasaskan sains merangkumi suplemen pemakanan, bahan makanan sihat, kolagen ovine dan kawalan jangkitan.
Sementara itu, Swang Chai Chuan Limited (HKEX:2321) merupakan peneraju dalam sektor barangan pengguna cepat laris (FMCG) yang disenaraikan di Hong Kong. Kumpulan ini menyediakan perkhidmatan pengedaran, logistik dan pergudangan menyeluruh di Malaysia bagi pelbagai produk makanan, minuman dan barangan isi rumah.