Tune Talk Perkenal Rangkaian Mudah Alih Cloud-Native Pertama di Malaysia, Dibina Berasaskan AWS
3 min readTune Talk kini menjadi perintis di Malaysia dengan pelancaran rangkaian teras cloud-native pertama yang dibangunkan sepenuhnya di atas platform Amazon Web Services (AWS), menandakan langkah besar dalam pemodenan rangkaian telekomunikasi generasi baharu. Rangkaian teras ini, yang merupakan komponen kritikal dalam operasi telekomunikasi — termasuk pengesahan identiti pelanggan, pengurusan sesi data, pengebilan, dan penghalaan trafik — kini beroperasi bersama sistem OSS (Sistem Sokongan Operasi) dan BSS (Sistem Sokongan Perniagaan) generasi baharu hasil kerjasama dengan Nokia dan Mavenir, kesemuanya dihoskan di AWS Malaysia.
Pelaksanaan infrastruktur cloud-native sepenuhnya ini membolehkan Tune Talk menyampaikan perkhidmatan suara, data, dan perayauan dengan prestasi tinggi, sambungan lebih stabil, dan kemampuan penskalaan yang fleksibel. Melalui seni bina ini, Tune Talk kini boleh memperkenalkan ciri-ciri baharu dan perkhidmatan nilai tambah (VAS) dalam tempoh beberapa hari sahaja, berbanding beberapa bulan sebelum ini, sambil mengekalkan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda, strategi transformasi yang dimulakan sejak 2024 — termasuk pemindahan beban kerja teras ke AWS — membolehkan syarikat berkembang daripada pengendali mudah alih tradisional kepada penyedia telekomunikasi berasaskan perisian dan bersedia untuk era kecerdasan buatan (AI). Pelaksanaan ini turut membolehkan Tune Talk menjadi penyedia telekomunikasi pertama di ASEAN yang menjalankan telecommunications user plane melalui AWS Outposts, memastikan latensi rendah dan pengalaman pengguna yang lebih responsif, sambil membina asas untuk rangkaian autonomi berasaskan AI pada masa hadapan.
Dengan seluruh infrastruktur rangkaian, sistem operasi, dan platform pelanggan berjalan di AWS, Tune Talk menegaskan komitmennya untuk mempercepatkan transformasi digital, membangunkan ciri baharu dengan pantas, dan menyediakan pengalaman telekomunikasi generasi baharu yang pintar, berskala, dan data-driven kepada pelanggan di Malaysia.