Selepas pengumuman harga anggaran, Saga Serba Baharu telah menerima 10,000 tempahan, iaitu satu tempahan bagi setiap 43 saat.

10,000 tempahan dalam 5 hari — bersamaan 2,000 sehari, 83 sejam, 1 setiap 43 saat. Sedan paling ikonik di Malaysia ini terus menawan hati para pemandu dengan ciri serba baharu dan keunggulan kejuruteraannya.

Rakyat Malaysia kembali menunjukkan sokongan luar biasa terhadap kereta paling ikonik negara apabila PROTON Saga Serba Baharu berjaya mencatat sebanyak 10,000 tempahan dalam tempoh hanya lima hari selepas harga anggaran diumumkan pada 10 November. Jumlah ini bersamaan 2,000 tempahan sehari, 83 setiap jam, atau satu tempahan baharu setiap 43 saat, sekaligus menandakan keyakinan tinggi rakyat terhadap evolusi terbaharu model sedan popular tersebut. Menggabungkan Impressive Performance, Comprehensive Safety, Optimised Intelligence dan Next-Gen Styling, Saga Serba Baharu terus menetapkan standard sebagai kereta dengan nilai terbaik dalam kelasnya.

Menurut Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, sambutan yang luar biasa ini membuktikan kedudukan Saga sebagai simbol kemajuan negara yang kini dipertingkat untuk generasi baharu. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas kepercayaan yang diberikan, sambil memaklumkan bahawa pasukan pengeluaran di Tanjong Malim sedang mempertingkat kapasiti bagi memastikan penyerahan kepada pelanggan dapat dilakukan sebaik sahaja pelancaran rasmi berlangsung.

Dibina berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA) baharu, Saga Serba Baharu menggambarkan kemajuan besar dalam reka bentuk dan kejuruteraan automotif negara. Model ini menawarkan enjin i-GT 1.5L baharu dipadankan dengan transmisi CVT yang lebih lancar dan jimat bahan api. Aspek keselamatan turut diperkukuh dengan 9 ciri ADAS dan 6 beg udara, memberikan perlindungan komprehensif kepada pemandu dan penumpang. Bahagian kabin pula menampilkan Paparan Skrin Berkembar Bersepadu 16-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sementara sentuhan perincian Sulaman Songket menyerlahkan nilai budaya tempatan dalam reka bentuk moden.

Dengan harga anggaran antara RM40,000 hingga RM50,000, Saga Serba Baharu kekal sebagai pilihan mampu milik dengan ciri premium, menjadikannya sedan paling berbaloi dalam pasaran. Untuk membawa pengalaman lebih dekat kepada rakyat, PROTON menganjurkan siri jelajah IKONIK TOGETHER-GATHER di beberapa lokasi tumpuan, menggabungkan elemen makanan, muzik dan gaya hidup. Program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat Saga Serba Baharu dari dekat sebelum pelancaran rasmi.

PROTON turut menawarkan tawaran awal eksklusif kepada 10,000 pelanggan seterusnya yang membuat tempahan sehingga hari pelancaran rasmi dan mendaftar kenderaan sebelum 31 Disember 2025. Antara tawaran termasuk Servis Percuma 1 Tahun atau 20,000KM serta Kad Touch ’n Go Edisi Terhad Saga Serba Baharu.

Sebagai model yang dibangunkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia, Saga Serba Baharu melambangkan semangat kemajuan nasional yang terus berkembang. Dengan pencapaian 10,000 tempahan dalam masa singkat, jelas bahawa Saga masih menjadi pilihan utama rakyat dan kini bersedia melangkah sebagai pencabar di peringkat global. Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan, orang ramai boleh mengunjungi wakil jualan PROTON di seluruh negara atau mengikuti Proton Cars Official di media sosial untuk perkembangan terkini.