MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

“Saya tak sangka boleh menitiskan air mata!” – Tayangan Rangga & Cinta Terus Mengundang Reaksi Emosional Penonton

5 min read
Sorakan, senyuman dan vibe positif! Pelajar UiTM hadir beramai-ramai memeriahkan tayangan Rangga & Cinta, menjadikan pawagam bernafas dengan energi generasi muda.

Sorakan, senyuman dan vibe positif! Pelajar UiTM hadir beramai-ramai memeriahkan tayangan Rangga & Cinta, menjadikan pawagam bernafas dengan energi generasi muda.

Majlis tayangan khas Rangga & Cinta di GSC One Utama pada Sabtu, 15 November 2025 membuka tirai dengan suasana penuh meriah apabila ratusan pelajar dari UiTM Puncak Alam hadir untuk menyaksikan interpretasi baharu kisah cinta klasik yang pernah menjadi fenomena Asia. Sejak pintu pawagam dibuka, gelak tawa, perbualan mesra dan sesi bergambar bersama rakan-rakan sudah menghidupkan ruang menanti, menandakan keterujaan yang tinggi untuk mengimbas kembali memori cinta dua jiwa yang pernah menjadi kegemaran ramai.

Acara yang dirakam menggunakan Samsung Galaxy S25 FE itu turut bertambah seri dengan kehadiran tiga selebriti tempatan—Nadia Annuar, Dayang Areeda dan Fatin Hamimah. Ketiga-tiganya bukan sekadar muncul sebagai tetamu, malah meluangkan masa berinteraksi, bergambar dan berkongsi pandangan dengan para pelajar. Ia memberi suntikan glamor tetapi mesra, menjadikan tayangan ini satu pengalaman komuniti yang hangat dan inklusif.

Nadia Annuar

Nadia Annuar mengakui dirinya tersentuh ketika menonton filem tersebut. “Rasa macam throwback zaman muda sebab saya tengok filem asal masa umur 18 tahun. Berdetak balik kenangan lama,” katanya sambil tersenyum. Bagi Dayang Areeda pula, detik piano antara Rangga dan Cinta menjadi babak paling melekat di hati. Menurutnya, “Ada pandangan mata yang manis sangat. Semua orang menjerit dalam dewan, dan saya pun teruja sama.”

Sebaik tayangan bermula, suasana di dalam pawagam berubah menjadi lebih hidup. Sorakan, tawa, jeritan kecil dan tepukan spontan bergema hampir sepanjang filem, terutama ketika adegan-adegan ikonik yang menyentuh emosi. Reaksi penonton muda membuktikan bahawa kisah Rangga dan Cinta bukan sahaja bergenre nostalgia, tetapi mampu menembusi perasaan generasi baharu yang mungkin tidak membesar dengan filem asalnya.

Dayang Areeda

Bagi sesetengah penonton, perjalanan emosi filem ini benar-benar meninggalkan kesan. “Saya tak sangka babak terakhir tu buat saya menangis,” kata seorang pelajar dengan nada terharu. Ada juga yang menyatakan filem ini membuat mereka “rasa jatuh cinta semula,” terutamanya kerana kekuatan muzik dan chemistry watak utamanya.

Menariknya, selain elemen romantik, para pelajar turut menangkap mesej yang lebih matang daripada penceritaan filem tersebut. Seorang penonton berkongsi, “Cerita ni tunjuk yang bercinta tu tak salah, tapi kita kena jaga sekeliling. Kena jujur dengan kawan-kawan, kena pandai bahagikan masa.” Pandangan ini membuktikan bahawa kisah cinta klasik masih relevan dalam konteks hubungan muda-mudi masa kini.

Gabungan keterujaan komuniti, aura nostalgia, kehangatan selebriti dan reaksi jujur penonton menjadikan tayangan Rangga & Cinta bukan hanya sebuah acara hiburan, tetapi satu pengalaman kolektif yang menghubungkan dua generasi — mereka yang pernah jatuh cinta dengan versi asal, dan mereka yang sedang menemui makna cinta melalui versi terbaharu ini.

Rangga & Cinta kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Alami sendiri keindahan cinta yang merentas masa dan alasan mengapa setiap generasi sentiasa mempunyai “Rangga & Cinta” mereka sendiri.

Untuk kandungan eksklusif dan perkembangan terkini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.