Tag: #FilemRomantik

  • “Saya tak sangka boleh menitiskan air mata!” – Tayangan Rangga & Cinta Terus Mengundang Reaksi Emosional Penonton

    “Saya tak sangka boleh menitiskan air mata!” – Tayangan Rangga & Cinta Terus Mengundang Reaksi Emosional Penonton

    Majlis tayangan khas Rangga & Cinta di GSC One Utama pada Sabtu, 15 November 2025 membuka tirai dengan suasana penuh meriah apabila ratusan pelajar dari UiTM Puncak Alam hadir untuk menyaksikan interpretasi baharu kisah cinta klasik yang pernah menjadi fenomena Asia. Sejak pintu pawagam dibuka, gelak tawa, perbualan mesra dan sesi bergambar bersama rakan-rakan sudah menghidupkan ruang menanti, menandakan keterujaan yang tinggi untuk mengimbas kembali memori cinta dua jiwa yang pernah menjadi kegemaran ramai.

    Acara yang dirakam menggunakan Samsung Galaxy S25 FE itu turut bertambah seri dengan kehadiran tiga selebriti tempatan—Nadia Annuar, Dayang Areeda dan Fatin Hamimah. Ketiga-tiganya bukan sekadar muncul sebagai tetamu, malah meluangkan masa berinteraksi, bergambar dan berkongsi pandangan dengan para pelajar. Ia memberi suntikan glamor tetapi mesra, menjadikan tayangan ini satu pengalaman komuniti yang hangat dan inklusif.

    Nadia Annuar

    Nadia Annuar mengakui dirinya tersentuh ketika menonton filem tersebut. “Rasa macam throwback zaman muda sebab saya tengok filem asal masa umur 18 tahun. Berdetak balik kenangan lama,” katanya sambil tersenyum. Bagi Dayang Areeda pula, detik piano antara Rangga dan Cinta menjadi babak paling melekat di hati. Menurutnya, “Ada pandangan mata yang manis sangat. Semua orang menjerit dalam dewan, dan saya pun teruja sama.”

    Sebaik tayangan bermula, suasana di dalam pawagam berubah menjadi lebih hidup. Sorakan, tawa, jeritan kecil dan tepukan spontan bergema hampir sepanjang filem, terutama ketika adegan-adegan ikonik yang menyentuh emosi. Reaksi penonton muda membuktikan bahawa kisah Rangga dan Cinta bukan sahaja bergenre nostalgia, tetapi mampu menembusi perasaan generasi baharu yang mungkin tidak membesar dengan filem asalnya.

    Dayang Areeda

    Bagi sesetengah penonton, perjalanan emosi filem ini benar-benar meninggalkan kesan. “Saya tak sangka babak terakhir tu buat saya menangis,” kata seorang pelajar dengan nada terharu. Ada juga yang menyatakan filem ini membuat mereka “rasa jatuh cinta semula,” terutamanya kerana kekuatan muzik dan chemistry watak utamanya.

    Menariknya, selain elemen romantik, para pelajar turut menangkap mesej yang lebih matang daripada penceritaan filem tersebut. Seorang penonton berkongsi, “Cerita ni tunjuk yang bercinta tu tak salah, tapi kita kena jaga sekeliling. Kena jujur dengan kawan-kawan, kena pandai bahagikan masa.” Pandangan ini membuktikan bahawa kisah cinta klasik masih relevan dalam konteks hubungan muda-mudi masa kini.

    Gabungan keterujaan komuniti, aura nostalgia, kehangatan selebriti dan reaksi jujur penonton menjadikan tayangan Rangga & Cinta bukan hanya sebuah acara hiburan, tetapi satu pengalaman kolektif yang menghubungkan dua generasi — mereka yang pernah jatuh cinta dengan versi asal, dan mereka yang sedang menemui makna cinta melalui versi terbaharu ini.

    Rangga & Cinta kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Alami sendiri keindahan cinta yang merentas masa dan alasan mengapa setiap generasi sentiasa mempunyai “Rangga & Cinta” mereka sendiri.

    Untuk kandungan eksklusif dan perkembangan terkini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.

  • Jiwa Sama, Tafsiran Berbeza: El Putra Sarira & Leya Princy Hidupkan Watak ‘Rangga & Cinta’

    Jiwa Sama, Tafsiran Berbeza: El Putra Sarira & Leya Princy Hidupkan Watak ‘Rangga & Cinta’

    Sedang hangat di pawagam seluruh negara, Rangga & Cinta bukan sekadar mengimbau kisah cinta legenda yang pernah menawan hati jutaan penonton, tetapi turut membuka lembaran baharu buat dua pelakon muda berbakat besar, El Putra Sarira dan Leya Princy. Gandingan mereka membawa kehangatan tersendiri, menampilkan tafsiran segar terhadap watak ikonik Rangga dan Cinta dengan sentuhan emosi yang jujur dan menyentuh hati.

    El Putra Sarira, anak kelahiran Papua Barat pada 30 Disember 2003, menempuh perjalanan panjang sebelum bergelar pelakon utama. Meninggalkan kampung halaman yang jauh dari kota, El menempuh perjalanan berjam-jam menaiki kapal dan penerbangan sebelum akhirnya menjejakkan kaki ke Jakarta untuk melanjutkan pengajian di Universiti Dipa Makassar. Di sinilah cintanya terhadap dunia seni mula berputik, hingga akhirnya berjaya melepasi uji bakat filem Rangga & Cinta. Lebih istimewa, pemilihannya dibuat sendiri oleh Nicholas Saputra, pelakon asal watak Rangga dalam Ada Apa Dengan Cinta?, menjadikan El seolah-olah pewaris legasi kisah cinta paling ikonik Asia Tenggara itu.

    El “Shadday” Putra Sarira sebagai Rangga

    Bagi Leya Princy, dunia seni mengalir dalam darahnya. Dilahirkan di Jakarta pada 18 November 2006, anak kepada pasangan pelakon terkenal Perry Maryadi dan Risma Nilawati ini mula mencipta nama melalui siri web Pernikahan Dini. Rangga & Cinta menjadi debut filem pertamanya sebagai pelakon utama, menyerlahkan bakat luar biasa dan karisma semula jadinya. Selain berlakon, Leya turut bergiat aktif sebagai penyanyi di bawah label Trinity Optima Productions, membuktikan bakatnya melangkaui satu bidang seni sahaja.

    Sejak tayangan filem ini, media sosial dibanjiri pujian terhadap keserasian dua bintang muda ini. Penonton terpikat bukan sahaja dengan lakonan mereka, tetapi juga keakraban yang terpancar di layar dan di luar set penggambaran. Menurut El, rahsia chemistry mereka terletak pada usaha memahami jiwa watak masing-masing — daripada perbualan mendalam hingga ke aktiviti bersama seperti mengunjungi kedai buku, tempat yang dekat dengan dunia Rangga dan Cinta. Bagi Leya pula, kunci utama ialah memahami perasaan dan pemikiran watak dengan menyelami kehidupan mereka sepenuhnya.

    Dua latar kehidupan yang berbeza telah mempertemukan El dan Leya di satu titik yang sama — menghidupkan semula magis cinta klasik dalam versi yang lebih muda, moden dan relevan untuk generasi masa kini. Rangga & Cinta bukan sekadar filem romantik, tetapi satu penghormatan terhadap warisan sinema yang membentuk imaginasi cinta sejak dua dekad lalu.

    Harleyava “Leya” Princy sebagai Cinta

    Saksikan bagaimana El Putra Sarira dan Leya Princy menulis semula sejarah cinta di layar perak — dengan jiwa yang sama, namun tafsiran yang berbeza. Kerana setiap generasi punya Rangga dan Cinta mereka sendiri.

    Ikuti perkembangan serta kandungan eksklusif filem ini di platform rasmi Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X, dan YouTube.

  • Cinta dan Puisi Bertaut Semula dalam Filem Romantis Rangga & Cinta

    Cinta dan Puisi Bertaut Semula dalam Filem Romantis Rangga & Cinta

    Dua dekad telah berlalu sejak kisah cinta remaja paling ikonik, Ada Apa Dengan Cinta?, menyatukan satu generasi dengan pesona cinta pertama yang polos dan penuh makna. Kini, kisah itu kembali bernafas dalam bentuk baharu menerusi filem Rangga & Cinta, arahan sutradara tersohor Riri Riza di bawah produksi Miles Films. Filem ini bukan sekadar mengembalikan nostalgia, tetapi juga meniupkan semangat segar dalam dunia cinta dan puisi yang abadi.

    Dalam Rangga & Cinta, puisi kembali menjadi nadi penceritaan, menghubungkan dua jiwa muda dalam perjalanan emosi yang sarat dengan keindahan, keremajaan dan kejujuran perasaan. Filem ini menampilkan Leya Princy sebagai Cinta dan El Putra Sarira sebagai Rangga, dua bintang baharu yang membawa pesona tersendiri dalam menjiwai watak ikonik tersebut. Di sebalik layar, filem ini mendapat sentuhan kreatif daripada tiga penerbit prolifik Mira Lesmana, Toto Prasetyanto dan Nicholas Saputra yang memastikan karya ini tampil dengan jiwa dan estetika yang utuh.

    Filem yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 6 November 2025 ini menggabungkan dua dunia kenangan lama yang penuh nostalgia dan semangat baharu yang lebih segar dan berwarna. Ia bukan sekadar adaptasi, tetapi satu tafsiran moden terhadap cinta remaja yang tumbuh di antara perbezaan, salah faham dan kesungguhan mengenal diri.

    Kisahnya bermula dengan Cinta, seorang pelajar popular yang berbakat dalam dunia seni dan sering menjadi tumpuan di sekolah. Namun, kekalahan dalam pertandingan puisi membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila dia bertemu dengan Rangga, seorang pelajar pendiam yang menjadi juara pertandingan tersebut. Pertemuan yang pada awalnya penuh ketegangan perlahan-lahan berkembang menjadi hubungan yang tulus dan menyentuh hati, melakar semula definisi cinta yang sederhana tetapi bermakna.

    Treler berdurasi 30 saat yang baru sahaja dilancarkan memperlihatkan sinematografi yang menawan serta susunan muzik yang menyentuh jiwa. Setiap bait lagu yang digubah khas untuk filem ini mengalun perasaan cinta, kehilangan dan kerinduan dengan cara yang begitu indah, menghidupkan semula magis Ada Apa Dengan Cinta? dalam bentuk yang lebih segar dan kontemporari.

    Lebih daripada sekadar karya ulang cipta, Rangga & Cinta hadir sebagai surat cinta kepada dunia filem Indonesia – satu penghormatan terhadap karya klasik yang telah meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, sambil memperkenalkan tafsiran baharu yang lebih ekspresif dan moden. Filem ini menggabungkan keindahan puisi, kekuatan muzik dan visual yang memukau menjadi sebuah pengalaman sinematik yang menyentuh hati dan menghidupkan semula semangat cinta pertama yang tak pernah mati.

    Dengan setiap bait puisi dan setiap nota muzik, Rangga & Cinta mengajak penonton untuk kembali jatuh cinta, bukan sahaja kepada watak-wataknya tetapi juga kepada keindahan bahasa dan perasaan yang murni. Ia adalah perjalanan emosi yang menembus masa, membuktikan bahawa walau zaman berubah, puisi dan cinta akan terus hidup dalam setiap jiwa yang pernah merasakannya.

    Untuk mengikuti perkembangan dan kandungan eksklusif Rangga & Cinta, penonton boleh mengikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.

  • Bila Setia Jadi Langka, SORE Tampil Sebagai Suara Kejujuran Cinta

    Bila Setia Jadi Langka, SORE Tampil Sebagai Suara Kejujuran Cinta

    Di zaman moden yang serba maju ini, isu curang dan ketidaksetiaan seakan menjadi perkara biasa dalam masyarakat. Dari laman media sosial hingga ke tajuk utama berita, kisah tentang kecurangan sering menghiasi ruang digital kita. Nilai kesetiaan yang dahulunya menjadi tunjang sesebuah hubungan kini kian pudar, seolah-olah tidak lagi relevan dalam dunia penuh pilihan dan godaan. Persoalan mula timbul, adakah kesetiaan sejati masih wujud dalam lautan kisah cinta masa kini?

    Pertanyaan itu seolah-olah dijawab melalui filem “Sore: Istri Dari Masa Depan”, sebuah karya yang membawa makna mendalam tentang cinta dan kesetiaan. Filem ini bukan sekadar kisah romantik biasa, tetapi simbol bahawa cinta yang tulus dan setia masih hidup di tengah-tengah dunia yang serba pantas dan tidak menentu.

    Kisahnya mengisahkan Sore, seorang wanita dari masa depan yang kembali ke masa lalu semata-mata untuk mempertahankan cintanya terhadap Jonathan, lelaki yang amat dia kasihi. Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, Sore tidak pernah berhenti memperjuangkan cintanya. Keberaniannya untuk melangkaui masa demi mempertahankan hubungan mereka menjadikan watak ini satu simbol kesetiaan yang sukar ditemui pada hari ini.

    Sore tidak kembali untuk menyalahkan atau menuntut, tetapi untuk melindungi cinta yang diyakininya. Keikhlasannya digambarkan melalui pengorbanan dan kesabaran yang luar biasa, menjadikannya watak yang mampu menyentuh hati penonton. Salah satu dialog yang paling berbekas dari filem ini berbunyi, “Jika aku harus menjalani sepuluh ribu kehidupan, aku akan selalu memilihmu.” Kata-kata itu bukan sekadar ungkapan romantik, tetapi manifestasi cinta yang kekal dan tidak tergoyahkan oleh waktu.

    “Sore: Istri Dari Masa Depan” bukan sekadar hiburan di layar perak, tetapi satu peringatan bahawa dalam dunia yang semakin memandang ringan soal kesetiaan, masih ada jiwa-jiwa yang mempercayainya. Filem ini mengingatkan kita bahawa cinta sejati tidak pernah lapuk, malah semakin bermakna apabila diuji oleh masa dan keadaan.

    Filem “Sore: Istri Dari Masa Depan” kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Saksikan sendiri bagaimana kisah cinta luar biasa ini menghidupkan semula makna kesetiaan dalam era moden yang serba mencabar.