ALPHA Gegar Industri Muzik Dengan MV Kedua “P Ramlee Saloma”

Kumpulan lelaki pertama di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, ALPHA terus mengukir kejayaan dengan pelancaran single kedua mereka berjudul “P Ramlee Saloma”. Lagu yang dilancarkan pada 18 Julai 2025 lalu bukan sahaja menjadi runut bunyi kepada sebuah drama popular, malah turut mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan ini dalam industri muzik tanah air.

ALPHA yang dianggotai oleh Rizal Rasid, Araff, Daniel Sher, Ray-D, Izat Ibrahim, Afiq Sky dan Ariel Fesol mula dikenali melalui rancangan realiti Big Stage Alpha. Selepas menuai kejayaan menerusi single sulung “Monalisa (Bang Bang)”, kini mereka sekali lagi membuktikan kemampuan dengan karya terbaharu yang sarat dengan emosi.

“P Ramlee Saloma” merupakan sebuah balada moden yang diinspirasikan daripada kisah cinta agung dua legenda seni negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma. Menurut Rizal Rasid, kejayaan lagu ini yang berjaya meraih jutaan strim dalam masa singkat adalah sesuatu yang amat membanggakan. Beliau menyifatkan sokongan peminat sebagai bukti bahawa muzik ALPHA diterima ramai, sekali gus menjadi dorongan untuk mereka terus berkarya.

Dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran, lagu ini berjaya mengumpul lebih daripada 22 juta capaian digital merangkumi platform Spotify, YouTube, YouTube Music, Apple Music serta tontonan video pendek. Pencapaian ini membuktikan muzik ALPHA bukan sahaja mampu meninggalkan impak besar, tetapi juga berjaya menambat hati peminat di pelbagai lapisan.

Bagi Araff, melihat lagu ini trending memberi semangat baharu untuk terus menghasilkan karya lebih baik. Ray-D pula menyifatkan penghasilan video muzik rasmi “P Ramlee Saloma” sebagai hadiah istimewa buat peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan. MV yang menampilkan visual romantik dengan sentuhan sinematografi moden ini dilihat sebagai simbol kasih sayang ALPHA terhadap penyokong mereka.

Daniel Sher turut berkongsi keterujaannya apabila membaca komen-komen peminat yang mengatakan lagu ini menyentuh hati mereka. Baginya, itulah motivasi terbesar untuk terus mencipta karya yang berkualiti. Izat Ibrahim pula berterima kasih atas sokongan luar biasa yang diterima, manakala Afiq Sky meluahkan rasa terharu apabila hanya dengan dua single sahaja, mereka sudah mencapai tahap yang membanggakan. Ariel Fesol menegaskan bahawa kekuatan sebenar ALPHA adalah para peminat yang sentiasa menjadi pendorong utama perjalanan seni mereka.

Bermula 19 September 2025, video muzik rasmi “P Ramlee Saloma” boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube @RocketfFuelNetwork, manakala single ini turut boleh didengarkan di semua platform digital utama termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.