Nasib Tidak Menyebelahi, JDT Kecundang 1-2 di Laman Buriram

Harapan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membuka tirai ACLE 2025/2026 dengan kemenangan musnah selepas tunduk 1-2 kepada Buriram United dalam perlawanan sengit di Thailand.

JDT hampir mencipta permulaan sempurna apabila menjaringkan gol dalam masa kurang setengah minit, namun jaringan Joao Figueiredo itu tidak dikira selepas semakan VAR. Buriram juga menghadapi situasi sama apabila jaringan Guilherme Bessoli dibatalkan kerana ofsaid.

Gol yang dinantikan akhirnya hadir buat JDT pada minit ke-28 melalui rembatan kencang Antonio Glauder selepas sepakan penjuru Jon Irrazabal gagal ditangani pertahanan lawan.

Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama selepas rehat. Buriram tampil lebih bertenaga dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-50 melalui Suphanat Mueanta sebelum Robert Zulj menjaringkan gol kedua hanya empat minit kemudian.

JDT berusaha keras mencari gol penyamaan, termasuk percubaan Figueiredo pada minit ke-81, tetapi aksi tangkas Neil Etheridge menafikan peluang itu. Kekalahan ini menyaksikan JDT bermula tanpa mata dalam saingan kumpulan.