Pegawai JPJ Wilayah Persekutuan Adakan Lawatan Rasmi ke GGR Motor

GGR Motor terus mengorak langkah sebagai pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama tempatan apabila menerima sokongan penuh daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan melalui lawatan kerja rasmi ke kilangnya baru-baru ini.

Seramai 25 pegawai dan anggota JPJ Wilayah Persekutuan yang diketuai Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang, hadir ke kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala pada Khamis lalu. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan lebih dekat mengenai proses pemasangan motosikal elektrik serta meninjau operasi syarikat yang kini menjadi peneraju dalam pengeluaran EV tempatan.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, menyifatkan lawatan tersebut sebagai titik permulaan penting bagi memastikan pengeluaran motosikal elektrik di Malaysia berjalan mengikut piawaian yang ditetapkan. Beliau menegaskan bahawa kerjasama erat dengan pihak berkuasa mampu melancarkan prosedur operasi standard (SOP) selain mematuhi segala peraturan undang-undang yang berkaitan.

Lawatan itu disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail bersama Mussaddiq sendiri. Sepanjang sesi kunjungan, pegawai JPJ diberi taklimat operasi, dibawa meninjau proses pemasangan motosikal elektrik serta diperkenalkan dengan kemudahan lain termasuk bangunan jualan aksesori, bengkel servis dan bahagian operasi syarikat.

Dalam pada itu, Mussaddiq turut memaklumkan bahawa motosikal elektrik Lion G1 keluaran GGR Motor kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ sejak 1 September lalu. Lebih 6,000 unit tempahan dijangka akan diserahkan kepada pemilik dalam tempoh terdekat, menjadikan model ini sebagai permulaan penting dalam pembangunan industri EV negara.

Eric Jusiang (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail (tengah) diiringi Muhammad Mussaddiq (kiri).

Lion G1 dibangunkan hasil penyelidikan tempatan dan direka khas untuk pasaran Malaysia dengan penekanan kepada kos mampu milik dan mesra alam. Kilang GGR Legacy di Sungai Penchala pula diwujudkan dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal elektrik di rantau ASEAN, seiring dengan dasar kerajaan yang menyokong perkembangan industri EV melalui pelbagai insentif dan galakan.

Sebelum ini, pada pelancaran Lion G1 pertengahan Julai lalu, GGR Motor menyasarkan pengeluaran sebanyak 30,000 unit menjelang akhir 2025. Sambutan luar biasa yang diterima, dengan lebih 2,500 tempahan dicatat hanya dalam tempoh seminggu selepas pelancaran, membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin menerima motosikal elektrik sebagai alternatif mobiliti harian.

Bagi memenuhi permintaan pasaran, GGR Motor merancang membina sebuah lagi kilang pemasangan di utara Semenanjung di atas tapak seluas lebih satu ekar. Kilang baharu ini bakal menjadi hab utama bagi pengeluaran Lion G1 dan model-model baharu pada masa akan datang. Ia dijangka mewujudkan lebih 50 peluang pekerjaan khusus dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.

Usaha ini turut diperkukuhkan dengan kerjasama strategik bersama PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) merangkumi latihan teknikal, penyelenggaraan dan rantaian bekalan. Dengan sokongan padu daripada kerajaan serta sambutan positif pengguna, GGR Motor yakin berada di landasan tepat untuk menerajui industri motosikal elektrik di Malaysia.