Yes Group Management Berhad, pengendali jenama Yes Travel dan penyedia penyelesaian Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE), menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Kelulusan tersebut menjadi satu pencapaian penting bagi syarikat yang telah membina pengalaman lebih sedekad dalam industri pelancongan korporat, pelancongan insentif serta pengurusan acara.
Sejarah operasi Yes Group bermula pada tahun 2008 menerusi penubuhan Yes Travel & Events Consultant Sdn. Bhd., sebelum berkembang dengan penubuhan Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd. pada tahun 2009.
Daripada penyedia perkhidmatan pengurusan acara korporat, Kumpulan kemudiannya memperluaskan perkhidmatan kepada pelancongan insentif domestik pada tahun 2010 dan pelancongan insentif antarabangsa pada tahun 2014.
Kini, Yes Group berkembang sebagai penyedia penyelesaian MICE sehenti yang menawarkan perkhidmatan pelancongan insentif tersuai serta perancangan dan pengurusan acara untuk pelanggan korporat.
Kumpulan turut disokong oleh proses operasi yang diperakui ISO 9001:2015 serta sokongan digital melalui aplikasi mudah alih Yes Travel bagi meningkatkan pengalaman pelanggan.
Cadangan IPO Yes Group melibatkan terbitan awam sebanyak 91.87 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan sebanyak 45.93 juta saham biasa sedia ada.
Secara keseluruhan, jumlah tawaran IPO tersebut melibatkan 137.80 juta saham.
Selepas penyenaraian, Yes Group dijangka mempunyai modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 530 juta saham.
Pengarah Urusan Yes Group, Puan Angela Mak Shau Kwan berkata, penyenaraian yang dicadangkan merupakan langkah penting dalam perkembangan syarikat selepas bertahun-tahun membina kepakaran dalam penyelesaian perjalanan dan acara insentif.
Menurut beliau, Yes Group telah berkembang daripada sebuah penyedia perkhidmatan pelancongan dan acara kepada pakar MICE dengan keupayaan operasi yang lebih kukuh serta hubungan pelanggan yang lebih luas.
Penyenaraian tersebut dijangka memberikan platform lebih besar kepada Yes Group untuk meningkatkan keterlihatan syarikat, mengembangkan keupayaan operasi serta meneruskan pertumbuhan pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malacca Securities Sdn. Bhd., Puan Lim Chia Wei berkata, Yes Group mempunyai kedudukan kukuh dalam segmen pelancongan insentif korporat dan MICE hasil daripada pengalaman operasi serta asas pelanggan korporat yang stabil.
Hasil daripada terbitan awam tersebut akan digunakan untuk menyokong beberapa inisiatif strategik termasuk pengembangan perkhidmatan pengangkutan darat di Eropah, penubuhan pejabat serantau di United Kingdom, penubuhan Yes Academy, modal kerja am serta perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Pengembangan operasi di Eropah dijangka membantu Yes Group meningkatkan keupayaan dalam menyediakan penyelesaian pelancongan insentif antarabangsa serta meningkatkan kawalan terhadap kos dan kualiti perkhidmatan.
Selain itu, penubuhan Yes Academy bertujuan membangunkan bakat baharu dalam industri pelancongan melalui latihan dan pembangunan profesional bagi menyokong pertumbuhan sektor MICE.
Dengan pengalaman sejak 2008 dan perkembangan berterusan dalam industri pelancongan korporat, Yes Group kini bersedia memasuki fasa pertumbuhan baharu menerusi cadangan penyenaraian di ACE Market Bursa Malaysia.
