Bahang menjelang konsert yang ditunggu-tunggu ramai “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” semakin dirasai apabila kumpulan legenda Indonesia Ungu bersedia untuk meraikan perjalanan seni mereka selama tiga dekad bersama peminat di Malaysia dalam sebuah malam yang dijangka penuh emosi, nostalgia dan kejutan istimewa.
Selepas mencipta pelbagai momen bermakna menerusi lagu-lagu malar segar seperti “Demi Waktu”, “Tercipta Untukku”, “Seperti Yang Dulu” dan “Cinta Dalam Hati”, Ungu bakal membawa himpunan karya terbaik mereka ke pentas Idea Live Arena pada 5 September 2026 menerusi sebuah persembahan yang disifatkan sebagai antara konsert paling peribadi dan istimewa dalam sejarah perjalanan mereka.
Sejak pengumuman rasmi dibuat, keterujaan peminat di Malaysia terus meningkat dengan pelbagai reaksi positif membanjiri media sosial. Konsert ulang tahun ke-30 ini bukan sahaja menjadi simbol perjalanan panjang Ungu dalam industri muzik Nusantara, malah turut dianggap sebagai malam penghargaan buat peminat yang setia menyokong mereka selama tiga dekad.
Sambutan luar biasa terhadap konsert ini turut dibuktikan apabila jualan tiket telah mencapai 50 peratus, sekaligus menunjukkan permintaan yang sangat tinggi daripada peminat. Susulan perkembangan ini, pihak penganjur akan menambah beberapa kategori tempat duduk baharu dalam masa terdekat bagi memberi lebih banyak pilihan kepada peminat yang ingin menyaksikan persembahan istimewa ini secara langsung.
Dengan pelbagai kejutan yang sedang dirancang, malam tersebut dijangka menjadi pengalaman yang lebih intim, emosional dan imersif buat semua yang hadir. Setiap elemen persembahan dirancang dengan teliti bagi memastikan penonton benar-benar merasai perjalanan muzik Ungu sepanjang tiga dekad.
Lebih menghangatkan suasana, penyanyi terkenal tanah air Marsha Milan turut diumumkan sebagai artis jemputan khas. Menariknya, pemilihan Marsha dibuat sendiri oleh anggota Ungu yang mengagumi kekuatan vokal dan penghayatan emosinya yang dianggap sesuai untuk melengkapkan atmosfera konsert ulang tahun ke-30 tersebut.
Menurut Ungu, mereka telah lama mengikuti perkembangan seni Marsha dan percaya beliau mempunyai aura tersendiri untuk berkongsi pentas bersama mereka. Mereka turut menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu momen yang bakal mencipta kenangan manis bersama peminat Malaysia.
Konsert ini akan membawa penonton menyusuri perjalanan emosi tiga dekad Ungu menerusi tiga segmen utama iaitu “The Birth”, “The Peak” dan “The Legacy”. Setiap segmen dirancang dengan elemen penceritaan, visual serta susunan muzik yang lebih imersif bagi menghidupkan semula evolusi perjalanan seni mereka.
Pengarah Konsert, En. Zairul Addry Helmy dari COMs. Creative Studio berkata fokus utama penganjur adalah untuk memastikan malam tersebut menjadi pengalaman yang dekat di hati peminat. Menurutnya, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah perayaan muzik, kenangan dan hubungan istimewa antara Ungu dan peminat di Malaysia.
Beliau turut menambah bahawa penglibatan Marsha Milan akan memberikan warna berbeza kepada keseluruhan pengalaman konsert, dengan kombinasi vokal yang dijangka mencipta chemistry kuat di atas pentas.
Selain persembahan utama daripada Ungu dan Marsha Milan, beberapa kejutan eksklusif lain turut dirancang untuk diumumkan dalam masa terdekat, sekaligus meningkatkan lagi keterujaan peminat menjelang September 2026.
Selepas tiga dekad mewarnai industri muzik Nusantara dengan karya yang terus hidup merentasi generasi, Ungu kini bersedia menghadiahkan sebuah malam yang bukan sahaja meraikan muzik, tetapi juga perjalanan, persahabatan dan kenangan yang telah dibina bersama peminat sejak sekian lama.
