TV AlHijrah Lancar ASMI, Perkasa Generasi Baharu Media Islam Era Digital

Written by

in

TV AlHijrah terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap penyiaran negara menerusi pelancaran rasmi Akademi Seni Media Islam (ASMI), sebuah inisiatif strategik yang diwujudkan bagi melahirkan generasi baharu pemain industri media berteraskan nilai Islam serta mampu bersaing dalam era digital masa kini.

Majlis pelancaran yang berlangsung di kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai itu telah disempurnakan oleh Zulkifli Hasan dan turut dihadiri barisan kepimpinan TV AlHijrah, wakil institusi pengajian tinggi, pemain industri kreatif serta rakan strategik. Majlis tersebut juga diserikan dengan kehadiran Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz baru-baru ini.

Pelancaran ASMI menjadi satu langkah penting dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan negara, khususnya dalam bidang seni, media dan komunikasi yang berteraskan nilai Islam progresif serta selari dengan keperluan semasa.

Sebagai stesen televisyen Islam pertama negara, TV AlHijrah kekal konsisten membawa kandungan yang menekankan ilmu, hikmah dan pembangunan masyarakat. Penubuhan ASMI pula mengukuhkan lagi peranan TV AlHijrah bukan sekadar sebagai penyedia kandungan berkualiti, malah sebagai platform yang membantu membentuk masa depan ekosistem kreatif Muslim menerusi pendidikan, latihan dan inovasi industri.

ASMI dibangunkan sebagai sebuah modul latihan yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat media dalam kalangan asatizah, pelajar institusi pengajian tinggi, golongan belia serta bakat baharu yang berpotensi untuk menyertai industri.

Program ini merangkumi pelbagai aspek latihan seperti komunikasi Islam, penerbitan kandungan, pengacaraan, media digital, strategi dakwah, pembentukan personaliti penyiaran dan kemahiran penyampaian yang lebih berkesan, sejajar dengan perkembangan dunia media hari ini.

Inisiatif ini juga menjadi simbol kerjasama strategik antara TV AlHijrah dan USIM dalam menggabungkan pengalaman industri bersama kepakaran akademik untuk melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja kompeten dan berintegriti, malah bersedia menghadapi cabaran dunia digital.

Menerusi ASMI, peserta akan didedahkan dengan ekosistem pembelajaran yang lebih menyeluruh meliputi kemahiran teknikal, pemikiran strategik, nilai kepimpinan serta pemahaman tentang peranan dakwah dalam dunia penyiaran moden.

Pada masa sama, ia membuka lebih banyak ruang kepada bakat baharu untuk menyerlah sebagai pencipta kandungan, personaliti media dan penyampai mesej Islam yang berkesan merentasi platform televisyen serta digital.

Pelancaran ASMI juga selari dengan hasrat TV AlHijrah untuk terus menerajui pembangunan kandungan Islam berimpak tinggi, di samping memperluaskan fungsi media sebagai agen pembangunan ummah, penyatuan masyarakat dan pencetus perubahan positif kepada negara.

TV AlHijrah komited untuk menjadikan ASMI sebagai institusi rujukan utama dalam pembangunan bakat media Islam di Malaysia dan rantau ini, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara pusat rujukan media Islam progresif di peringkat serantau.