Tiket ‘Sold Out’ Dua Malam, GENKRU Kembali Gegarkan Stadium pada 10 Mei!

KRU cipta sejarah baharu dalam industri hiburan tanah air apabila Konsert GENKRU kini disahkan berlangsung selama tiga hari, dengan tarikh tambahan diumumkan pada 10 Mei 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Pada awalnya hanya dijadualkan pada 3 Mei 2025, sambutan luar biasa daripada peminat memaksa pihak penganjur menambah satu malam lagi pada 4 Mei. Namun, kedua-dua malam itu menyaksikan tiket habis terjual dalam tempoh kurang sejam, membuktikan betapa kuatnya pengaruh dan legasi KRU yang telah bertapak sejak 1992.

Sebagai trio ikonik yang membentuk landskap muzik Melayu moden, KRU terus membuktikan daya tarik mereka melangkaui generasi. Dengan keputusan rasmi untuk melanjutkan penganjuran konsert kepada malam ketiga, Konsert GENKRU bukan sekadar satu persembahan hiburan tetapi simbol kejayaan artis tempatan yang mampu mencetus fenomena. Tarikh tambahan pada 10 Mei ini juga menjadikan KRU sebagai kumpulan muzik Malaysia pertama yang berjaya mengadakan konsert berskala besar selama tiga malam di lokasi yang sama.

Menurut Pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, keputusan ini diambil selepas pertimbangan teliti dan persetujuan semua anggota KRU iaitu Dato’ Norman, Datuk Yusry dan Edry. Pemilihan 10 Mei sebagai tarikh konsert ketiga bukanlah bersifat oportunis, tetapi sebagai usaha tulus untuk memenuhi permintaan tinggi daripada peminat yang tidak sempat mendapatkan tiket sebelum ini. Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan ini menjadi kebanggaan buat industri tempatan, dan bukti jelas bahawa pemuzik Malaysia mampu mencipta impak besar tanpa bergantung kepada pasaran luar.

Pemilihan 10 Mei yang tidak bersebelahan dengan dua tarikh terdahulu dibuat atas pertimbangan teknikal dan logistik, memandangkan jadual asal KRU serta pihak penganjur telah dipenuhi dengan komitmen lain. Bagaimanapun, usaha ini jelas menunjukkan komitmen KRU untuk tidak menghampakan peminat yang ingin menyaksikan persembahan istimewa mereka.

Konsert GENKRU turut menandakan kemunculan semula KRU di pentas besar selepas enam tahun menyepi. Penonton boleh menantikan malam yang penuh nostalgia dan inovasi muzik yang telah menjadi identiti kumpulan ini sejak tiga dekad lalu. Selain itu, elemen teknologi terkini turut dijangka menambah pengalaman luar biasa sepanjang persembahan.

Tiket untuk Konsert GENKRU boleh didapati di laman web www.ticket2u.com.my/kru3 dan dijual dalam enam kategori harga iaitu reKRUed pada RM258, Canggih RM358, Relax RM478, Kaset RM508, KRUjaan RM548 dan KRUnisme RM588. Pemegang kad Maybank turut berpeluang mendapatkan tiket lebih awal melalui sesi pra-jualan khas pada 7 Januari 2025 bermula jam 11 pagi. Manakala jualan umum akan bermula pada 8 Januari 2025, jam 3 petang.

Konsert ini dianjurkan oleh ICON Entertainment dan dijangka mencipta satu lagi detik bersejarah dalam industri hiburan tanah air. Buat para peminat yang masih belum mendapat tiket, ini peluang terakhir untuk menyertai momen bersejarah bersama KRU yang bakal menyatukan muzik, kenangan dan revolusi hiburan dalam satu malam yang tidak akan dilupakan.