Kepercayaan Dikhianati, Rumah Tangga Bergoncang – Ikmal Amry Terseret Dilema Emosi dalam “Bukan Ipar Sempurna”

Apa terjadi apabila cinta yang suci diracuni rahsia kelam dan pengkhianatan terlarang? Jawapannya bakal menghantui penonton menerusi drama bersiri penuh emosi, “Bukan Ipar Sempurna” yang menghiasi slot Akasia TV3 mulai hari ini. Sentuhan arahan Ejump Mohd dan penerbitan oleh MIG Production Sdn. Bhd menjanjikan sebuah kisah yang mengupas realiti perkahwinan dari sisi yang lebih gelap – penuh ranjau, air mata dan dilema.

Diadaptasi daripada novel popular karya Bellesa, drama 28 episod ini membuka tirai dengan kisah Firash, lakonan Ikmal Amry, yang menamatkan pertunangan demi mengejar cinta sebenar bersama Nadhia. Namun kebahagiaan yang diimpikan mula pudar apabila sebuah rahsia mengejutkan menguji kepercayaan antara pasangan ini. Penonton boleh menyaksikan perkembangan dramatik ini setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7 malam atau strim 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.

Barisan pelakon berbakat besar seperti Cahaya Nilam, Hafeez Mikail, Nadiya Nisaa, Nessa Maureen, Atira Karma, Raff Roslee, Jihaa Sham dan Fazlina Ahmad Daud turut membangkitkan kekuatan penceritaan dengan lakonan penuh penghayatan yang mendalam dan menyentuh jiwa.

Konflik bermula apabila kehamilan Nadhia menimbulkan persoalan besar – siapakah ayah kandung sebenarnya? Keadaan bertambah kusut apabila Zahin, bekas kekasih Nadhia, kembali dalam hidupnya. Rahsia lama, dendam dan manipulasi emosi mula menggoncang rumah tangga Firash dan Nadhia. Atma, kakak Firash, turut bersekongkol dalam konspirasi, mengadu domba dan menambah bara dalam hubungan suami isteri itu.

Ketegangan memuncak apabila Firash menyaksikan sendiri satu insiden yang membuatkan dia percaya isterinya berlaku curang. Tanpa menyelidik kebenaran, dendam mula menguasai hati. Penonton akan dibawa menyelami perjuangan Nadhia mempertahankan rumah tangga sambil dibelenggu trauma dan fitnah. Apakah kebenaran akhirnya akan terungkap, dan masih adakah ruang untuk cinta bertaut kembali?

“Bukan Ipar Sempurna” bukan sekadar drama cinta, tetapi juga gambaran realiti getir dalam perkahwinan moden – bagaimana kepercayaan yang dikhianati boleh menghancurkan segala yang dibina. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk mengikuti setiap episod mendebarkan hanya di Akasia TV3.

Untuk info lanjut dan perkembangan terbaru drama ini, ikuti laman media sosial rasmi TV3 Malaysia di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram, serta saluran Drama Sangat di Instagram @dramasangat.