Tag: #WaliBandLive

  • 90 Peratus Tiket Terjual, Wali Band Sedia Gegar Kuala Lumpur

    Gelombang Wali Band kini melanda Kuala Lumpur apabila hampir 90 peratus tiket konsert mereka telah habis terjual, sekali gus mencerminkan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahan secara langsung. Dengan sambutan yang begitu menggalakkan, Konsert Wali Kembali dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan, khususnya selepas peminat tidak berpeluang menikmati sepenuhnya lagu-lagu hit Wali Band seperti ‘Aku Bukan Bang Toyib’, ‘Tobat Maksiat’, ‘Yank’, ‘Cari Jodoh’ dan ‘Baik-Baik Sayang’ dalam konsert RadjaWali awal tahun ini.

    Konsert anjuran GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures ini dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026. Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, menyifatkan sambutan luar biasa terhadap konsert Wali Band sebagai sesuatu yang amat membanggakan dan di luar jangkaan. Beliau berkata pihaknya berbesar hati melihat sokongan padu daripada peminat di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa muzik Wali Band masih relevan dan dekat di hati ramai. Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan serta menegaskan komitmen untuk menyediakan pengalaman konsert yang lebih berkualiti, bukan sahaja dari segi produksi malah dari sudut kepuasan penonton.

    Wali Band yang dianggotai Faank sebagai vokalis, Apoy di posisi gitar, Tomi selaku pemain dram dan Ovie di papan kekunci turut mengakui tidak sabar untuk menjayakan konsert solo mereka di Kuala Lumpur. Menurut Faank, respon dan energi luar biasa daripada peminat di Sabah ketika mereka menjayakan konsert solo di Kota Kinabalu awal bulan ini sangat mengagumkan, seolah-olah mereka beraksi di hadapan penonton di Indonesia. Mereka berharap dapat menerima sambutan dan energi yang sama di Kuala Lumpur, di samping berjanji akan memberikan persembahan terbaik seperti yang telah dipamerkan sebelum ini. Tambahnya lagi, kemunculan mereka kali ini menerusi konsert solo merupakan satu penghormatan besar, selain peluang untuk menghiburkan peminat serta menebus kekecewaan dengan mempersembahkan rangkaian lagu hit mereka.

    Dalam pada itu, Wali Band tampil lebih bersedia untuk menghadirkan pengalaman konsert yang lebih lengkap dan bertenaga menerusi deretan lagu popular yang mudah dinyanyikan bersama, selain susunan muzik yang lebih segar serta interaksi lebih dekat dengan peminat. Peminat disarankan untuk hadir seawal jam 4 petang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berikutan acara besar lain yang berlangsung di sekitar Bukit Jalil, selain berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik di luar perkarangan stadium termasuk persembahan muzik oleh DJ.

    Dengan baki tiket yang semakin terhad, orang ramai digesa mendapatkan tiket segera bagi mengelakkan kekecewaan. Tiket boleh dibeli menerusi laman web www.ilassotickets.com, manakala maklumat terkini boleh diperoleh melalui media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram. Konsert ini turut mendapat sokongan Era FM, Sinar dan THR Gegar sebagai rakan radio rasmi, serta Astro Gempak sebagai portal rasmi.

  • Konsert Solo Wali Band Janji Hiburan Maksimum dan Tebus Kekecewaan Peminat

    Konsert Solo Wali Band Janji Hiburan Maksimum dan Tebus Kekecewaan Peminat

    KUALA LUMPUR, 12 Februari 2026 – Selepas insiden yang menjejaskan persembahan sebelum ini, Wali Band kembali dengan semangat baharu menerusi Konsert Wali Band Kembali di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 1 Mei 2026. Konsert solo ini bukan sekadar persembahan ulangan, tetapi simbol komitmen band dan penganjur untuk menebus kekecewaan peminat serta menghadirkan pengalaman hiburan yang lebih baik.

    Faank, vokalis Wali Band, menyatakan bahawa konsert ini akan menampilkan repertoir lagu-lagu hits lebih lengkap dan pentas yang bertenaga serta interaktif. Setiap aspek teknikal seperti sistem bunyi, pencahayaan dan susunan acara diberi perhatian khusus bagi memastikan pengalaman konsert yang memuaskan. Beliau menegaskan bahawa pengalaman peminat menjadi keutamaan berbanding keuntungan semata-mata.

    Penganjur, GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures, turut menekankan bahawa konsert ini dirancang untuk mengembalikan kepercayaan peminat dan memperbaiki segala kekurangan pada acara terdahulu. Konsert ini dijangka menampilkan lebih banyak lagu popular Wali Band serta persembahan pentas yang lebih mantap dan penuh emosi, selaras dengan sokongan padu daripada radio rasmi Era FM, Sinar, THR Gegar, dan portal Astro Gempak.

    Jualan tiket bermula 16 Februari 2026 dengan harga kategori bermula RM77 hingga RM777. Peminat yang hadir pada Konsert RadjaWali sebelum ini boleh menebus diskaun 20% menggunakan kod promo terdahulu. Konsert ini dijangka menjadi malam yang penuh hiburan, menyatukan peminat Wali Band di Malaysia sambil menebus kekecewaan mereka sebelum ini.