Tag: #VanessaReynauld

  • “Singer 2026 – Malaysia” Buka Tirai, Jaclyn & Vanessa Antara Peserta Utama

    “Singer 2026 – Malaysia” Buka Tirai, Jaclyn & Vanessa Antara Peserta Utama

    Dua bintang vokal tanah air, Jaclyn Victor dan Vanessa Reynauld, bakal menggalas cabaran besar apabila terpilih sebagai peserta untuk program pertandingan muzik bertaraf antarabangsa, Singer 2026 – Malaysia. Kehadiran mereka bukan saja mencuri perhatian peminat, malah sudah mula dianggap sebagai antara pesaing paling kuat di pentas musim ini.

    Dibawakan khas oleh Lausanjee sebagai penaja utama dan disokong oleh Mah Sing sebagai penaja rasmi, program ini sudah pun mencetuskan buzz di media sosial walaupun belum mula bersiaran. Soalan “siapa penyanyi utama?” jadi antara topik hangat yang terus diperkatakan. Bagi merungkai tanda tanya itu, satu majlis pelancaran rasmi telah pun berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur hari ini, menghimpunkan peminat dan pencinta muzik dalam sebuah pengalaman muzik yang lebih dekat dan imersif, sekali gus menandakan bermulanya perjalanan musim ini.

    Selain Jaclyn dan Vanessa, majlis itu turut mengumumkan barisan penyanyi utama lain seperti Geraldine Gan, Uriah See, Nicole Lai dan Priscilla Abby. Keenam-enam penyanyi ini hadir dengan gaya dan kekuatan vokal masing-masing, sekaligus mencetuskan keterujaan awal terhadap persaingan musim ini.

    Program ini diterbitkan melalui kerjasama Astro dan Mango TV, membuka satu lagi langkah baharu dalam kolaborasi hiburan serantau. Ia juga menjadi platform penting untuk mengetengahkan bakat tempatan ke pentas yang lebih besar, termasuk peluang untuk mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui francais Singer.

    Menariknya, masih ada dua slot terakhir yang akan dipilih menerusi episod pertama, yang bakal menampilkan hampir 30 penyanyi dalam pusingan penyingkiran yang cukup sengit. Hanya dua peserta terbaik akan mara untuk melengkapkan senarai Top 8 sebelum saingan sebenar bermula.

    Bermula episod kedua, semua peserta akan berentap secara langsung dalam persembahan vokal yang menguji ketahanan, teknik dan karisma di pentas. Setiap persembahan akan dinilai oleh panel penonton, menjadikan persaingan lebih telus dan mencabar.

    Sebagai edisi pertama yang memberi fokus kepada Malaysia, Singer 2026 – Malaysia bukan sekadar pertandingan, tapi juga platform untuk mengetengahkan bakat vokal tempatan ke tahap lebih tinggi. Penyertaan Jaclyn Victor dan Vanessa Reynauld juga membuktikan bahawa muzik mampu menyatukan peminat dari pelbagai latar belakang.

    Dengan pengalaman pentas yang luas dan kekuatan vokal yang mantap, kedua-dua penyanyi ini dijangka bakal memberi saingan sengit, sekali gus memberi cabaran besar kepada peserta lain dalam pertandingan ini.

    Program ini akan bersiaran selama enam episod bermula 30 Mei 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam di Astro AEC (Saluran 306), Astro GO, On Demand dan sooka. Penonton juga boleh mendapatkan Pek Hiburan Astro One yang menawarkan lebih 90 saluran hiburan pada harga serendah RM49.99 sebulan. Untuk info lanjut, layari astro.com.my atau WhatsApp 03-9543 3838.

  • Langkah Berani Vanessa Reynauld Menembusi Dunia Muzik Mandarin

    Langkah Berani Vanessa Reynauld Menembusi Dunia Muzik Mandarin

    Pelancaran Would You Leave Me Too? bukan sekadar single baharu buat Vanessa Reynauld, malah merupakan simbol keberanian seorang artis tempatan dalam memperluaskan spektrum kerjayanya. Sebagai single Mandarin pertamanya, karya ini mencerminkan kesungguhan Vanessa untuk menghasilkan muzik yang merentasi bahasa, budaya dan sempadan geografi.

    Dihasilkan oleh barisan pencipta lagu tempatan berbakat seperti Hanz Koay, Shio dan Rooy Ang, lagu ini mengangkat persoalan universal tentang ketakutan kehilangan dan perubahan dalam kehidupan. Liriknya yang jujur serta melankolik menjadikan lagu ini mudah dihayati, bukan sahaja sebagai kisah percintaan, tetapi juga sebagai refleksi emosi manusia secara menyeluruh.

    Vanessa turut berkongsi bahawa inspirasi lagu ini hadir daripada pengalaman peribadi, termasuk hubungan jarak jauh serta keprihatinannya terhadap insan tersayang dalam hidupnya. Kejujuran inilah yang menjadikan Would You Leave Me Too? sebuah karya yang tulen, memperlihatkan sisi matang dan mendalam seorang penyanyi yang semakin berkembang dari segi artistik.

    Dengarkan ‘Would You Leave Me Too?’ DI SINI: https://vanessareynauld.lnk.to/WYLMT

  • Vanessa Reynauld dan Rebel Asia Bergabung untuk OST Filem “Soloz Game of Life”

    Vanessa Reynauld dan Rebel Asia Bergabung untuk OST Filem “Soloz Game of Life”

    Buat pertama kalinya, Sony Music Malaysia melancarkan kolaborasi unik antara dua bintang besar, Vanessa Reynauld, penyanyi bersuara emas, dan Rebel Asia, bintang hip-hop yang penuh tenaga. Mereka bersatu dalam sebuah single istimewa berjudul “To The Finish Line”, lagu runut bunyi rasmi (OST) untuk filem yang dinanti-nantikan, “Soloz Game of Life”, yang bakal ditayangkan pada 23 Januari 2025.

    “Soloz Game of Life” ialah filem penuh aksi dan emosi yang mengisahkan perjuangan dalam dunia e-sukan Mobile Legends. Lagu “To The Finish Line” menjadi simbol kepada tema utama filem ini—semangat juang, keberanian, dan kesatuan yang diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam hidup dan e-sukan.

    Menurut Vanessa, lagu ini terinspirasi sepenuhnya daripada cerita filem “Soloz Game of Life”. “Lagu ini dirangka sebagai pelengkap perjalanan filem ini, sesuai dengan tajuknya, ‘To The Finish Line’,” jelas Vanessa.

    Sementara itu, Rebel Asia menekankan elemen digital dan suasana dunia permainan video yang menjadi fokus utama lagu ini. “Kami mahu menghasilkan sesuatu yang seiring dengan dunia permainan video, dan itulah sebabnya elemen digital menjadi tunjang utama dalam lagu ini,” tambahnya.

    Lagu ini juga membawa mesej yang kuat—jangan pernah berhenti mengejar impian, kerana garisan penamat ditentukan oleh diri kita sendiri.

    Projek ini membuka ruang kepada kedua-dua artis untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya mereka. Vanessa menyifatkan pengalaman ini sebagai sebuah cabaran menyeronokkan.

    “Ini kali pertama saya menyanyikan lagu dengan genre seperti ini. Lagu ini melibatkan kerjasama dengan DJ dan penggunaan elemen AI, yang membuatkan pengalaman ini sangat luar biasa,” katanya.

    Rebel Asia pula mengakui bahawa genre EDM pop yang mendominasi lagu ini merupakan sesuatu yang segar dalam perjalanan seni mereka. “Ia berbeza daripada genre hip-hop biasa yang saya lakukan, tetapi saya teruja untuk mencubanya,” jelasnya.

    Kolaborasi ini merupakan idea yang datang dari Vanessa sendiri, yang mengagumi bakat Rebel Asia dalam dunia muzik. “Saya suka cara Rebel Asia rap, jadi saya tidak ragu-ragu untuk menghubunginya. Saya sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengannya,” ujar Vanessa.

    Rebel Asia turut berkongsi perasaan, “Lagu ini adalah peluang besar untuk kami menunjukkan sisi lain daripada kebolehan kami. Saya bangga menjadi sebahagian daripada projek ini,” katanya.

    Vanessa dan Rebel Asia berharap lagu ini tidak hanya diterima peminat tetapi juga memberi inspirasi kepada mereka untuk terus mengejar impian. “Semoga lagu ini menyentuh hati pendengar dan menjadi pilihan utama untuk video TikTok sehingga tular,” kata Vanessa dengan penuh keyakinan.

    “Kami mahu lagu ini menjadi sumber motivasi kepada semua orang untuk berusaha mencapai matlamat mereka, walau apa pun cabaran,” tambah Rebel Asia.

    “To The Finish Line” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Video muzik rasmi yang dijangka sarat dengan visual digital menarik, diinspirasikan terus daripada filem, akan tersedia secara eksklusif di saluran YouTube SonyMusicMYVEVO tidak lama lagi.

    Dengarkan sekarang dan rasai semangat perjuangan ke garisan penamat bersama “To The Finish Line”!

  • Vanessa Reynauld ‘Menganyam Kayangan’

    Vanessa Reynauld ‘Menganyam Kayangan’

    Penyanyi bersuara emas, Vanessa Reynauld, terus mencuri perhatian dalam industri muzik tempatan dengan karya terbarunya, ‘Anyam Kayangan’, yang menjadi lagu tema untuk siri drama seram terbaru, Kayangan. Drama yang dibintangi oleh Zul Ariffin, Elisya Sandha, Hasnul Rahmat, dan Siti Saleha ini dijangka akan mencuri tumpuan peminatnya, dan lagu ini dijangka akan turut mengukir jejak yang sama.

    Dilahirkan sebagai sebuah lagu balada yang penuh emosi, Anyam Kayangan membawa pendengar menelusuri tema gelap dan misteri, sesuai dengan elemen seram yang dominan dalam drama tersebut. Lagu ini dicipta khas oleh Bajai & Co dengan lirik hasil nukilan penulis muda berbakat, Adrianna Cinta. Menurut Vanessa, lirik lagu ini cukup menggambarkan konflik manusiawi, melibatkan kepedihan yang timbul akibat tindakan manusia dan dosa masa lalu yang masih membelenggu.

    “Liriknya sangat mendalam dan berhubung rapat dengan tema seram dalam drama ini. Ia mengenai kebenaran yang tersembunyi dan akibat daripada niat buruk yang akhirnya membawa kepada kehancuran. Saya rasa lagu ini mencerminkan banyak perkara yang boleh difahami oleh setiap individu dalam kehidupan mereka,” jelas Vanessa mengenai isi kandungan lirik lagu tersebut.

    Sebagai seorang penyanyi yang biasanya mempersembahkan lagu-lagu pop dan balada romantik, Vanessa mengakui bahawa Anyam Kayangan adalah satu cabaran baru baginya. “Saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza dan lagu ini memberikan saya ruang untuk bereksperimen dengan emosi dan vokal yang lebih berbeza. Saya rasa saya boleh memberikan warna tersendiri dalam lagu ini, menggunakan suara dan identiti khas saya,” katanya.

    Lagu ini bukan hanya sebuah pengembaraan vokal bagi Vanessa, tetapi juga menguji batas kemampuan dirinya, terutamanya semasa proses rakaman. Pada awalnya, Vanessa dilanda demam dan selsema, namun selepas beberapa hari berehat, dia kembali untuk merakamkan lagu tersebut dengan penuh semangat. “Sebenarnya, ketika pertama kali memasuki studio untuk rakaman, saya selsema. Tapi setelah pulih sepenuhnya, saya dapat merasai kedalaman emosi lagu ini dan mampu menyampaikan rasa cemas dan seram yang diperlukan dalam lagu ini,” tambahnya.

    Tidak hanya cabaran dari segi vokal, penggambaran video muzik juga tidak kurang mencabar. Penggambaran yang berlangsung dari jam 9 malam hingga 4 pagi itu memakan masa yang lama, namun Vanessa tetap berpuas hati dengan hasil kerja keras semua pihak yang terlibat. “Kami sangat teliti dalam memastikan suasana yang dibawakan dalam video muzik itu selaras dengan tema seram yang terdapat dalam drama. Hari yang panjang itu memang sangat memenatkan, tetapi saya rasa ia berbaloi,” ujarnya penuh bersemangat.

    Biarpun Anyam Kayangan akan dilancarkan pada 18 Oktober 2024, Vanessa berharap lagu ini dapat melengkapi keseluruhan pengalaman menonton drama Kayangan. “Saya belum sempat menonton drama itu, tetapi saya berharap lagu ini dapat menambah suasana seram dan menyentuh emosi penonton. Saya juga harap peminat akan menerima dan menyukai kelainan yang saya bawa dalam lagu ini,” katanya.

    Lagu Anyam Kayangan akan tersedia untuk dimuat turun di iTunes dan boleh dinikmati melalui platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music. Bagi para peminat yang menantikan karya terbaru dari Vanessa, lagu ini pastinya akan menambahkan koleksi muzik seram dan penuh emosi untuk dinikmati.