Menggabungkan warisan rasa dan identiti budaya pelbagai kaum, Tourism Malaysia hari ini melancarkan inisiatif baharu yang dinamakan “Spice & Soul of Malaysia”, bertujuan memperkukuh daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan gastronomi dan budaya menjelang kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Program ini menampilkan kelainan dengan memfokuskan kepada keunikan kulinari tempatan yang menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia, termasuk budaya makan lewat malam yang dikenali sebagai Midnight Supper. Pengalaman autentik ini boleh dinikmati di lokasi ikonik seperti Saloma Kuala Lumpur, yang kini melanjutkan waktu operasi hingga jam 3 pagi dan menyajikan hidangan kegemaran rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa.
Bagi memperluas capaian budaya makan tengah malam ini, lebih banyak pilihan turut ditawarkan melalui restoran-restoran di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) di seluruh negara. Langkah ini bukan sahaja menambahkan nilai dalam kalendar pelancongan tempatan, malah mengangkat budaya gastronomi Malaysia ke pentas antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran, tiga buah hotel utama di Kuala Lumpur turut menyertai kempen ini dengan menawarkan pengalaman kulinari bertemakan etnik, persembahan budaya, serta dekorasi yang menampilkan identiti unik masyarakat Malaysia:
- Hotel Royal Signature, Kuala Lumpur
Sajian dan persembahan bertemakan Minangkabau setiap Sabtu sepanjang Julai 2025. - Hotel Saujana, Kuala Lumpur
Menyajikan pelbagai aktiviti Peranakan termasuk Nyonya Trio Platter, Afternoon Tea, serta Evening Cocktail Hour sepanjang Julai hingga Disember. - Ibis Kuala Lumpur City Centre
Buffet “Malaysian Delights – Mega Sales!” diiringi dengan persembahan kebudayaan setiap Jumaat dan Sabtu.
Menurut data pelancongan 2024, Malaysia mencatat perbelanjaan pelancongan sebanyak RM106.783 bilion, dengan makanan dan minuman menyumbang 16.1% peningkatan ketara yang menandakan potensi besar sektor kulinari dalam memacu pertumbuhan pelancongan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia menyatakan bahawa program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk “menjual pengalaman, bukan sekadar destinasi” dan Spice & Soul of Malaysia dijangka menjadi antara inisiatif teras yang akan memikat pelancong untuk menjelajah bukan sahaja tempat, tetapi rasa, cerita dan jiwa Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan lokasi terlibat, sila lawati:
👉 www.tourism.gov.my
