Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. dengan penuh rasa bangga mengumumkan penganjuran Konsert WINGS 40 Tahun: 4 Dekad Terbang Tinggi yang akan berlangsung pada 28 November 2025 di IDEA LIVE Arena, 3 Damansara.
Konsert ini merupakan tanda penghargaan istimewa buat para peminat setia WINGS sempena sambutan ulang tahun ke-40 kumpulan legenda rock tanah air itu dalam industri muzik. Menurut vokalis WINGS, Dato’ Awie, konsert kali ini bakal tampil dengan kelainan tersendiri berbanding persembahan sebelum ini dan dijanjikan meninggalkan kenangan manis kepada semua penonton. Beliau turut memaklumkan bahawa konsep serta butiran penuh konsert akan diumumkan dalam sidang media rasmi yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. (RPM), Dato’ Eddy Amir berkata, setiap pembeli tiket akan menerima barangan eksklusif sebagai cenderamata mengikut kategori tiket masing-masing. Ia merupakan antara usaha RPM untuk menjadikan konsert ini satu kenangan yang bermakna buat semua peminat.

Sebanyak 500 tempat pra-pendaftaran telah dibuka bermula 17 Julai 2025 dengan tawaran diskaun istimewa sebanyak 10 peratus. Sambutan luar biasa diterima apabila lebih 1,000 pendaftaran diterima dalam tempoh hanya dua jam. Sehingga kini, jumlah pendaftaran telah melebihi 2,000 dan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan padu para peminat, RPM memutuskan untuk melanjutkan tempoh diskaun tersebut sehingga 20 Julai 2025, jam 11.59 malam.
Pra-pendaftaran tanpa diskaun akan dibuka dari 21 hingga 24 Julai 2025. Mereka yang mendaftar akan menikmati keistimewaan membeli tiket lebih awal daripada jualan umum bermula 25 Julai 2025, jam 11 pagi, bagi membolehkan mereka memilih tempat duduk yang diinginkan.
Jualan tiket kepada umum pula akan dibuka pada 30 Julai 2025, jam 11 pagi menerusi platform rpm.uberticket.asia dengan harga bermula serendah RM240. Pembeli juga diberi pilihan untuk membuat bayaran secara ansuran dua kali melalui platform Ubertickets.

Konsert WINGS 40 Tahun ini bersifat eksklusif dengan kapasiti terhad kepada 4,444 tempat duduk sahaja dan tiada kategori berdiri. Hanya individu berumur 12 tahun ke atas dibenarkan masuk bagi memastikan keselesaan serta keselamatan semua penonton.
Pihak RPM menjanjikan sebuah pengalaman konsert yang luar biasa dengan pentas bertaraf antarabangsa, sistem bunyi dan pencahayaan berteknologi tinggi serta pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.
Sidang media rasmi yang bakal diadakan nanti akan memperincikan konsep penuh konsert serta pengumuman mengenai hadiah-hadiah eksklusif untuk para penonton. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial rasmi RPM di Instagram, Facebook dan TikTok menerusi @rpmevents.
