Tag: #PrihatinKomuniti

  • Tragedi Tahfiz: Estika Medispa Segera Salur Bantuan Kepada Mangsa Terjejas 

    Kebakaran yang melanda Maahad Tahfiz Miftahul Ulum di Hulu Langat baru-baru ini bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan fizikal, malah meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada para pelajarnya. Prihatin terhadap situasi tersebut, Estika Medispa tampil menghulurkan bantuan dengan menyalurkan sumbangan kewangan bagi memenuhi keperluan segera pengurusan maahad serta pelajar yang terjejas.

    Menurut pengasasnya, Dr Haq, kehilangan tempat belajar dan keperluan asas dalam tempoh singkat menjadi faktor utama yang mendorong pihaknya untuk bertindak pantas. Beliau menyifatkan keadaan yang dialami para pelajar sebagai sangat menyentuh hati, apatah lagi mereka bukan sahaja kehilangan kemudahan pembelajaran, tetapi turut terkesan dari segi emosi dan rasa selamat.

    “Dalam setiap musibah yang menimpa komuniti, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk tampil membantu,” katanya. Dr Haq turut menjelaskan bahawa sumbangan yang disalurkan merupakan langkah permulaan, dengan pihak Estika kini sedang merancang bentuk sokongan susulan yang lebih komprehensif bagi membantu usaha pemulihan Maahad Tahfiz berkenaan.

    Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa inisiatif tersebut bukan sekadar bantuan bersifat sementara, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR). “Bagi Estika, CSR adalah satu komitmen jangka panjang untuk memberi impak positif kepada masyarakat. Pemilihan komuniti yang dibantu adalah berdasarkan tahap keperluan serta sejauh mana sesuatu kejadian memberi kesan kepada kehidupan mereka.

    “Situasi seperti ini jelas memerlukan tindakan segera, dan kami memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” ujarnya. Mengulas lanjut, Dr Haq menekankan bahawa nilai empati dan tanggungjawab sosial menjadi asas dalam membina jenama Estika, selain memastikan kejayaan syarikat turut memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

    Beliau turut menyatakan bahawa syarikat swasta mempunyai kelebihan dari segi kepantasan bertindak serta keupayaan menggerakkan sumber bagi membantu keperluan mendesak, termasuk menyediakan sokongan jangka sederhana seperti pemulihan emosi dan kemudahan asas. Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak pihak untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada Maahad Tahfiz Miftahul Ulum dalam usaha mempercepatkan proses pemulihan institusi berkenaan.