Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dengan kerjasama Persatuan Alumni ASWARA, mempersembahkan sebuah naskhah muzikal baharu bertajuk Teater Muzikal Paduka Cik Siti, yang bakal dipentaskan pada 19 hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya. Muzikal ini mengisahkan kepahlawanan dan ketokohan Cik Siti Wan Kembang, satu-satunya waris takhta Tanah Serendah Sekebun Bunga, yang mengambil alih pemerintahan selepas kemangkatan ayahanda saudaranya demi menunaikan amanah almarhum ayahandanya. Dalam menghadapi pelbagai cabaran — dari tekanan sosial dan politik, ancaman Siam, hingga konflik perasaan kerana cinta yang terpendam — Paduka Cik Siti menampilkan keberanian dan kebijaksanaan seorang wanita pemimpin yang sanggup mengutamakan tanggungjawab terhadap negeri di atas segala kepentingan diri.
Dipersembahkan dengan gabungan lakonan, muzik, tarian, visual yang memukau dan naratif menyentuh jiwa, produksi ini menampilkan pelakon berpengalaman seperti Asmidar, Taqim Zaki, Dr. Norzizi Zulkifli, Shahrul Mizad, Nesa Idrus, Serra Kamal, Zizi Hazirah, dan ramai lagi. Arahan Che Kem, tulisan oleh Roziah Adama dan Khairunazwan Rodzy, serta lirik Dr. Hairul Anuar Harun, menjanjikan persembahan berskala besar dan berimpak tinggi. Muzikal ini bukan sahaja meraikan sejarah dan budaya Melayu, tetapi juga mengetengahkan pengorbanan dan kekuatan seorang wanita pemimpin. Tiket boleh diperoleh pada harga RM40 hingga RM150 melalui pautan https://www.cloudjoi.com/shows/4822-teater-muzikal-paduka-cik-siti, manakala maklumat terkini boleh diikuti melalui Instagram @aswara.official dan @Persatuan_alumni_aswara, TikTok aswara.official dan persatuanalumniaswara, serta Facebook https://www.facebook.com/@aswara.edu.
