Tag: #PentasKeluarga

  • Di Sebalik Populariti: Kisah Pengurus & Artis

    Di Sebalik Populariti: Kisah Pengurus & Artis

    Astro bakal mempersembahkan sebuah program realiti hiburan terbaharu yang segar dan unik berjudul Talk To My Manager. Menampilkan format pertandingan yang sarat dengan emosi dan mendebarkan, program ini menguji bakat, populariti, kepercayaan serta legasi sesebuah keluarga dalam pentas hiburan. Buat pertama kalinya, Talk To My Manager menggabungkan pasangan pengurus dan artis yang terdiri daripada ibu bapa selebriti bersama anak mereka sendiri. Anak-anak akan menjadi tumpuan utama sebagai penghibur, manakala ibu bapa selebriti akan berperanan sebagai pengurus yang mengemudi arah kreatif persembahan. Program ini bakal mula bersiaran pada 24 Ogos 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan turut boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

    Fenomena generasi kedua dalam industri hiburan semakin ketara dengan kemunculan bakat baharu yang membawa perspektif segar sambil meneruskan legasi keluarga mereka yang terkenal. Fenomena ini merentasi pelbagai bidang seperti nyanyian, lakonan, komedi, tarian dan cabang seni kreatif lain, sekaligus menjadi inspirasi kepada penonton yang menghargai konsep warisan dalam seni persembahan. Menyedari potensi ini, Astro mengambil langkah memperkenalkan format yang bukan sahaja menonjolkan bakat baharu, tetapi turut meraikan bimbingan, pengorbanan dan impian bersama yang menjadi pemangkin kejayaan merentas generasi.

    Dalam setiap episod, pasangan selebriti dan anak mereka akan berhadapan pelbagai cabaran kreatif yang menguji kemahiran, daya tahan dan kerjasama unik yang hanya wujud dalam hubungan kekeluargaan. Musim ini akan menyaksikan penyertaan pasangan hebat seperti Siti Saerah & Amad, Ameng & Ammar, Aziz M. Osman & Ara Aziz, Sharifah Shahirah & Auddra, Shuib & Thalita, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie, serta Liza Hanim & Marsya. Mereka akan mengasah bakat, mengatur strategi dan mempersembahkan aksi bertenaga untuk memenangi gelaran pasangan pengurus dan artis terunggul Malaysia.

    Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, Astro percaya pada kuasa legasi dalam membentuk landskap industri hiburan. Beliau menekankan bahawa program ini memberi peluang penonton untuk mengikuti perjalanan unik para peserta dengan lebih dekat, menyaksikan bagaimana ibu bapa yang berpengalaman membimbing anak mereka menghasilkan persembahan hebat setiap minggu. Penonton bakal disajikan dengan detik penuh emosi, cabaran kreatif dan persembahan memukau sehingga malam penobatan yang bakal menginspirasi generasi akan datang.

    Program ini akan dikendalikan oleh pengacara legenda, Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil), bersama barisan juri ternama seperti Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal. Sistem penjurian Talk To My Manager adalah 100% berdasarkan pemarkahan juri profesional, dengan pecahan 60% untuk kecekapan, kreativiti dan strategi pengurus, manakala 40% lagi dinilai berdasarkan keunikan persembahan serta kualiti vokal artis. Penonton juga berpeluang mempengaruhi perjalanan peserta melalui undian dalam talian yang menawarkan ganjaran mingguan seperti peluang kedua untuk membuat persembahan, penambahan markah atau memilih juri yang akan memberi komen.

    Selain konsert utama setiap Ahad, Talk To My Manager turut menawarkan pelbagai kandungan tambahan. Studio Talk To My Manager yang bersiaran setiap Sabtu jam 10 malam akan menampilkan persiapan intensif para peserta bersama pengurus masing-masing. Manakala BTS Talk To My Manager yang bersiaran setiap Rabu jam 8.30 malam akan membawa penonton ke belakang tabir latihan vokal, kelas tarian serta strategi persembahan. Bagi pengalaman lebih interaktif, penonton boleh mengikuti Talk To My Manager Live+ di www.gempak.com yang disiarkan serentak ketika konsert mingguan berlangsung.

    Musim ini turut menampilkan kolaborasi bersama Astro Gempak selaku Rakan Digital dan SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi. Dengan gabungan emosi, kreativiti dan hubungan kekeluargaan yang unik, Talk To My Manager dijangka menjadi antara program realiti paling hangat pada tahun ini, meraikan legasi hiburan keluarga sambil membuka ruang untuk generasi baharu mengukir nama di pentas seni.