Tag: #PentasAkhir

  • Kinar & Leeza Tersingkir, Saingan Kilauan Emas 2025 Kini Berakhir Dengan Enam Finalis

    Kinar & Leeza Tersingkir, Saingan Kilauan Emas 2025 Kini Berakhir Dengan Enam Finalis

    Minggu ketujuh Kilauan Emas 2025 yang berlangsung pada 27 September lalu menyaksikan tema “Selekoh Akhir” menjadi penentu kepada perjalanan lapan peserta yang masih berjuang merebut tempat ke pentas akhir. Malam penuh debaran itu dikemudikan oleh hos utama, Kak Lina Pom Pom atau Elly Mazlein yang turut ditemani hos jemputan Atu Zero, manakala barisan juri profesional terdiri daripada Erra Fazira, Ning Baizura dan Roy Azman.

    Peserta pertama yang membuka tirai ialah Mazleen dengan persembahan “Destinasi Cinta” dan “Janji Manismu”, dua lagu popular daripada Siti Nurhaliza dan Aishah yang berjaya memberinya markah tertinggi iaitu 86.30%. Nawary pula mempertaruhkan “Total Eclipse Of The Heart” yang dipopularkan oleh Bonnie Tyler serta “Penasaran” versi Kris Dayanti, memperoleh 82.46% sekaligus mengekalkan dirinya sebagai antara pesaing terkuat.

    Zekrai tampil dengan gabungan “Pada Syurga Di Wajahmu” dan “Seperti Mati Lampu” yang memberikan markah 77.83%. Sementara itu, Zanie memilih dua karya berbeza era iaitu “Sekuntum Mawar Merah” nyanyian Lata Mangeshkar dan “Bunga Angkasa” oleh kumpulan Terra Rosa, dan mengumpul 77.62%. Majid pula mempersembahkan “Selingkar Kasih” dan “It’s Gonna Be Me” daripada kumpulan NSYNC dengan markah 72.56%, diikuti Ezan yang membawakan “Asmara” versi Anita Sarawak serta “Menaruh Harapan” dengan markah 71.12%.

    Di penghujung saingan, Leeza dengan lagu “Ku Pendam Sebuah Duka” dan “Jangan Kau Mimpi” meraih 70.93%, manakala Kinar menutup tirai dengan “Memori Luka” serta “Mentera Semerah Padi” namun hanya memperoleh 65.49%. Keputusan penuh menyaksikan Kinar dan Leeza tersingkir pada minggu ini, sekaligus menutup peluang mereka untuk mara ke pentas akhir.

    Kini hanya enam otai yang akan berentap di malam kemuncak Kilauan Emas 2025 bagi merebut gelaran juara. Seperti musim-musim sebelumnya, pemarkahan akhir ditentukan berdasarkan 70% daripada juri profesional, 20% juri awam serta 10% undian penonton di rumah. Juara musim kali ini bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.

    Program Kilauan Emas 2025 diterbitkan dengan kerjasama Astro Gempak sebagai rakan digital, manakala SINAR dan GEGAR bertindak sebagai rakan radio rasmi. Penonton boleh menonton semula atau mengikuti perjalanan peserta melalui Astro GO dan sooka.

  • GV11 SEMAKIN HAMPIR KE KEMUNCAK: SIAPA BAKAL BERGELAR JUARA?

    GV11 SEMAKIN HAMPIR KE KEMUNCAK: SIAPA BAKAL BERGELAR JUARA?

    Separuh akhir Gegar Vaganza Musim 11 (GV11) yang berlangsung pada 2 Februari 2025 telah menyaksikan pertarungan sengit dalam kalangan peserta. Dengan setiap peserta memberikan yang terbaik, keputusan yang diumumkan menunjukkan betapa tipisnya perbezaan markah antara mereka.

    Senarai penuh markah juri bagi minggu ke-11 adalah seperti berikut:

    1. Dyrga Dadali – 74.10%
    2. Liza Aziz – 73.90%
    3. Sheila Abdull – 67.90%
    4. Ning Baizura – 67.40%
    5. The Lima – 65.60%
    6. Zehra Zambri – 64.50%
    7. Ronnie Hussein – 59.70%

    Dyrga Dadali berjaya meraih tempat pertama dengan 74.10%, tetapi Liza Aziz tidak jauh ketinggalan dengan 73.90%. Kedua-duanya menunjukkan persembahan yang luar biasa dan berjaya menarik perhatian juri serta penonton.

    Di kedudukan ketiga, Sheila Abdull dengan 67.90% membuktikan bahawa beliau masih menjadi ancaman kepada pesaing lain. Ning Baizura, yang berada di tempat keempat dengan 67.40%, juga menampilkan persembahan bertenaga yang meninggalkan impak mendalam kepada penonton.

    Namun, di kedudukan bawah, Ronnie Hussein dengan 59.70% mungkin menghadapi cabaran besar untuk mengubah momentum di pentas akhir.

    Dengan kedudukan markah yang rapat, pentas akhir GV11 bakal menjadi medan penentu bagi semua peserta. Tiada ruang untuk kesilapan, dan setiap persembahan perlu berada pada tahap yang lebih tinggi untuk menambat hati juri dan penonton.

    Persembahan pentas, pemilihan lagu, kawalan vokal, serta emosi yang disampaikan akan memainkan peranan besar dalam menentukan siapa yang bakal muncul sebagai juara GV11.

    Dengan Dyrga Dadali dan Liza Aziz berada di tangga teratas, ramai peminat meramalkan salah seorang daripada mereka akan dinobatkan sebagai juara. Namun, tidak mustahil peserta lain seperti Sheila Abdull atau Ning Baizura membuat kejutan di saat akhir.

    Siapakah yang akan membawa pulang gelaran juara GV11? Saksikan pentas akhir untuk mengetahui jawapannya!