Tag: #NantiKitaSepertiIni #BatasSenjaXHannahDelisha #VersiSinematik #LaguHarapan #LaguPenuhMakna

  • Bila Lagu Jadi Doa: Kolaborasi Menyentuh Batas Senja & Hannah Delisha

    Bila Lagu Jadi Doa: Kolaborasi Menyentuh Batas Senja & Hannah Delisha

    Sebuah lagu yang pernah mencuri hati jutaan pendengar kini kembali dalam bentuk yang lebih menyentuh jiwa. Lagu hit “Nanti Kita Seperti Ini” oleh kumpulan pop-folk Indonesia, Batas Senja, kini diberi nafas baru menerusi versi sinematik menampilkan penyanyi dan pelakon terkenal Malaysia, Hannah Delisha.

    Lagu yang sebelum ini mencatat lebih 340 juta strim di Spotify dan 79 juta tontonan di YouTube, kini dipersembahkan dalam susunan muzik baharu yang megah, lengkap dengan elemen orkestra serta sentuhan vokal Hannah yang lembut dan penuh ekspresi. Versi ini bukan sekadar ulang siar, tetapi sebuah tafsiran semula yang menjanjikan pengalaman mendengar yang lebih dalam dan sinematik.

    Sebuah Lagu, Sebuah Doa

    Menurut penulis lagu dan vokalis utama Batas Senja, Reza Lukita Apriadi (Masitong), “Nanti Kita Seperti Ini” lahir daripada pengalaman peribadi sewaktu beliau melalui fasa sukar dalam hidup.

    “Lagu ini ditulis ketika saya dalam keadaan tertekan, tanpa rumah sendiri dan masa depan yang pasti. Tapi saya menulisnya dengan harapan bahawa suatu hari nanti saya akan hidup bahagia. Lagu ini menjadi doa saya – dan kini, doa itu saya kongsikan dengan seluruh dunia,” kata Masitong.

    Beliau menambah, versi sinematik ini adalah satu bentuk perayaan kepada harapan dan impian, serta usaha untuk memperpanjang hayat emosi lagu ini kepada pendengar baharu.

    Kolaborasi Yang Tercetus Dari TikTok

    Kolaborasi dengan Hannah bermula secara tidak dirancang. Masitong pertama kali menemui Hannah menyanyikan lagu tersebut di TikTok dan serta-merta tertarik dengan gaya vokalnya.

    “Bila saya dengar dia nyanyi, saya tahu dia orang yang tepat. Suara dia ekspresif, penuh perasaan, dan ada karakter tersendiri,” jelas Masitong.

    Respon Hannah: Cinta Pandang Pertama

    Bagi Hannah Delisha, lagu ini memberi kesan mendalam sejak kali pertama didengari.

    “Saya terus rasa connected. Liriknya jujur, melodinya indah, dan susunan muzik yang baru ni sangat menyentuh. Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada versi ini,” ujar Hannah.

    Walaupun rakaman dilakukan secara berasingan, sinergi antara dua vokal ini amat menyerlah. Malah, selepas hanya empat hari sesi rakaman Hannah, mereka terus terbang ke Lampung, Indonesia untuk penggambaran video muzik membuktikan keserasian dan komitmen mereka terhadap projek ini.

    Lebih Dari Sebuah Lagu Cinta

    Bagi Hannah, lagu ini membawa makna lebih luas daripada sekadar cinta.

    “Ia buat saya fikir tentang momen kecil dalam hubungan yang kita selalu terlepas pandang. Lagu ni bukan tentang patah hati, tapi tentang menghargai. Saya harap lagu ini beri ketenangan dan keyakinan kepada orang ramai bahawa membina hidup bersama seseorang adalah sesuatu yang indah.”

    🎵 “Nanti Kita Seperti Ini (Cinematic Version)” kini boleh didengari di semua platform digital.
    📺 Tonton video muzik rasmi di saluran YouTube Hannah Delisha bermula hari ini, 27 Jun 2025.
    📌 Tonton di sini

    Maklumat Lagu:
    Tarikh Tayangan: Jumaat, 27 Jun 2025
    Artis: Batas Senja feat. Hannah Delisha
    Penulis Lirik & Komposer: Reza Lukita Apriadi (Masitong)
    YouTube MV: https://youtu.be/cgnf1oL87so