Tag: #MusikMelayu

  • Langkasuka Kembali Dengan Baju yang Baru: Kisah Kasih, Sabar dan Pembaharuan Diri

    Langkasuka Kembali Dengan Baju yang Baru: Kisah Kasih, Sabar dan Pembaharuan Diri

    Langkasuka bakal melancarkan single terbaharu berjudul Baju yang Baru pada 17 Oktober ini di semua platform digital. Lagu ini merupakan hasil ciptaan dan lirik oleh Zuhaili, dengan proses rakaman dijalankan di home studio. Kerja-kerja mixing disempurnakan oleh Fai, manakala proses mastering pula dikendalikan oleh Aliy. Secara keseluruhan, pembikinan lagu ini mengambil masa kira-kira lima bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

    Menurut Langkasuka, Baju yang Baru membawa mesej tentang kasih sayang, kesabaran, serta pembaharuan diri dalam kehidupan seharian. Karya ini juga mencerminkan perjalanan emosi dan refleksi peribadi yang mungkin dekat dengan hati pendengar. “Baju yang Baru mungkin cerita tentang kita, tentang kasih dalam diam, tentang hati yang bingung di tengah perjalanan. Dengarlah kalian lagu ini… mungkin di antara baitnya, anda akan menemui sedikit diri sendiri, atau sekurangnya, akan lebih berhati-hati, pada hati-hati yang lain,” kata Langkasuka.

    Tambah kumpulan itu lagi, lagu ini turut menjadi simbolik kepada penghargaan terhadap nilai kekeluargaan dan kasih sesama insan. Mereka menggambarkan lagu ini sebagai satu bentuk pelukan kecil buat setiap insan yang sedang berjuang dalam hubungan dan kehidupan. “Lagu ini adalah pelukan kecil kepada setiap suami yang lupa, setiap isteri yang sabar, dan setiap anak yang sedang belajar memahami kasih orang tuanya. Kadangkala, yang perlu diperbaharui bukan bajunya, tetapi hatinya,” ujar mereka.

    Menariknya, pelancaran single ini turut mendapat kerjasama daripada Empayar Masdo Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang aktif dalam pembangunan bakat tempatan serta pengurusan strategi pemasaran muzik digital. Dengan sokongan tersebut, Langkasuka berharap Baju yang Baru dapat menjangkau lebih ramai pendengar serta mengukuhkan lagi identiti mereka dalam dunia muzik tempatan.

    Baju yang Baru akan dilancarkan secara rasmi pada 17 Oktober 2025 di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Lagu ini dijangka menjadi satu lagi karya bermakna daripada Langkasuka yang terus memperjuangkan keindahan emosi dan nilai kemanusiaan dalam muzik mereka.