Tag: #MuhasabahDiri

  • Satu Perjalanan Jiwa Bersama Black Hanifah Dalam “Hadirmu Ramadhan”

    Satu Perjalanan Jiwa Bersama Black Hanifah Dalam “Hadirmu Ramadhan”

    Lagu “Hadirmu Ramadhan” lahir daripada rasa kerinduan dan kesyukuran terhadap kehadiran bulan Ramadan. Karya ini menggambarkan bagaimana Ramadan menjadi ruang untuk manusia mencari ketenangan jiwa, keinsafan diri, serta membina hubungan yang lebih erat dengan Tuhan. Menurut komposer dan penulis lirik bersama, Nyawablack (Black Hanifah), yang juga terlibat sebagai penyanyi, lagu ini bersifat reflektif, lembut, dan penuh harapan, sesuai didengari sebagai peringatan halus tentang makna sebenar Ramadan — bukan sekadar bulan perayaan, tetapi bulan muhasabah dan penyucian jiwa. Penyanyi popular Hazama turut menyumbang idea dalam penulisan lirik dengan nama pena Kadok.

    Inspirasi utama “Hadirmu Ramadhan” tercetus daripada suasana Ramadan itu sendiri — kenangan malam-malam sunyi, doa yang sarat kesyahduan, serta rasa rindu yang hadir setiap kali bulan mulia ini menjelma. Lagu ini turut diinspirasikan daripada pengalaman peribadi Black melihat bagaimana Ramadan mampu melembutkan hati manusia, walaupun seketika, namun meninggalkan kesan mendalam dan penuh makna.

    Proses penulisan lagu ini bermula dengan melodi yang menenangkan sebelum lirik disusun secara berperingkat. Setiap bait lirik dirangka dengan teliti agar mesej dapat disampaikan secara jujur tanpa berlebihan. Liriknya digambarkan sebagai dialog seorang insan dengan Tuhannya, lahir daripada suara hati yang penuh keinsafan dan kejujuran. Kolaborasi antara Nyawablack dan Kadok pula berlaku secara spontan; ketika demo lagu didengar Hazama, perbincangan santai tentang lirik membuka ruang untuk penambahbaikan supaya selari dengan emosi dan melodi lagu. Gabungan idea ini menghasilkan “Hadirmu Ramadhan” sebagai karya yang lebih seimbang dan berjiwa.

    Cabaran utama dalam penghasilan lagu ini adalah memastikan ia kekal ikhlas dan tidak klise, kerana lagu bertemakan Ramadan mudah terdedah kepada pengulangan tema. Cabaran lain termasuk menyampaikan mesej yang dekat dengan pendengar tanpa terasa terlalu berat atau terlalu ringan. Dari segi tempoh penghasilan, lagu ini mengambil beberapa minggu untuk disiapkan sepenuhnya, merangkumi penulisan lirik, susunan muzik, dan rakaman, meskipun idea asal tercetus sejak setahun lalu.

    Keistimewaan “Hadirmu Ramadhan” terletak pada pendekatan peribadi dan introspektifnya. Lagu ini tidak sarat dengan elemen perayaan, sebaliknya menekankan rasa rindu, muhasabah diri, serta pencarian makna Ramadan dalam diri setiap insan. Secara tersirat, karya ini menyampaikan mesej tentang peluang kedua. Ramadan digambarkan sebagai tetamu yang hadir membawa cahaya, mengajak manusia memperbaiki diri, memaafkan, dan kembali kepada fitrah, sebagai rahmat yang tidak seharusnya disia-siakan.

    Lagu “Hadirmu Ramadhan” boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital mulai 24 Februari 2026, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 20 Februari 2026, jam 3 petang.