Setelah satu dekad mewarnai pentas muzik tempatan dan serantau, Midnight Fusic bakal mencipta sejarah tersendiri dengan mengadakan konsert perdana mereka bertajuk Midnight Fusic Forevermore 2025 pada 14 September ini di Zepp Kuala Lumpur.
Dianggotai oleh Arif Kamarudin (vokal/gitar), Adrian Danial (vokal/gitar), Firdaus Azmi (bass) dan Muaz Rabbani (dram), kumpulan ini mula bertapak sejak 2013 dan telah mengumpul legasi muzik yang teguh. Gandingan suara unik Arif dan Adrian serta dinamik muzik Firdaus dan Muaz menjadikan Midnight Fusic antara band alternatif yang paling menyerlah dalam arena muzik Malaysia.
Dengan gabungan rock indie dan elemen pop yang moden, Midnight Fusic telah membina komuniti peminat yang kukuh melalui pelbagai pentas – dari We The Fest di Jakarta, Baybeats di Singapura, hingga ke Korea untuk Newtro Rhythm Global Music Tour 2024. Dalam negara, mereka turut mencuri perhatian melalui acara seperti Riuh, YSL Beauty, MLBB 8th Anniversary Music Party dan banyak lagi.

Konsert ini merupakan anjuran OYOLLO ASIA, syarikat tempatan yang komited untuk menyokong bakat muzik generasi baharu. Menurut Pengarah Urusannya, Kenny Wong, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi meraikan perjalanan seni Midnight Fusic selama 10 tahun. “Kami percaya ini adalah momen penting yang akan menjadi kenangan manis buat band ini dan para peminat mereka,” ujar beliau.
Sebagai persediaan, Midnight Fusic telah melancarkan EP terbaru mereka Modus Operandi pada Mei lalu, menampilkan lagu-lagu baharu yang akan dibawakan secara eksklusif semasa konsert. Visual, susunan lagu dan pengalaman pentas turut dijanjikan berbeza daripada persembahan sebelum ini lebih segar, lebih jujur dan lebih emosional.
“Kami sediakan pengalaman penuh: cerita, visual dan muzik yang menggambarkan siapa kami hari ini. Ini bukan sekadar persembahan — ini adalah pengakuan dan penghargaan kepada semua yang pernah menyokong kami sejak awal,” jelas Arif.
Muaz menambah, “Kami mahu cipta momen di mana semua orang tenggelam bersama dalam lagu pertama. Detik itu akan jadi magis.” Sementara Adrian dan Firdaus menyeru peminat, “Raikan 10 tahun kita bersama. Midnight Fusic Forever and More!”
Tiket konsert boleh didapati mulai 14 Julai 2025, jam 3 petang di www.ticket2u.com.my. Harga tiket bermula dari RM134 hingga RM3844 bagi VIP Box untuk 10 orang. Setiap kategori menawarkan pengalaman dan keistimewaan tersendiri, termasuk akses awal, kawasan eksklusif dan cenderamata edisi terhad.
Maklumat lanjut dan kelebihan tiket boleh dirujuk di media sosial rasmi @midnightfusic dan @oyollo.asia.
Maklumat Konsert:
Tarikh: 14 September 2025
Masa: 8 malam
Lokasi: Zepp Kuala Lumpur
Artis: Midnight Fusic
Penganjur: OYOLLO ASIA
Penaja utama: Kenangan Coffee & est Cola
Radio rasmi: HITZ FM
Media rasmi: Astro Gempak
Rakan medik: Gleneagles Hospital Kuala Lumpur
Untuk sebarang maklumat tambahan, sila lawati https://oyollo.asia
