Tag: #MASDO10Tahun

  • Sedekad Bersama Peminat, MASDO Hadiahkan Malam Penuh Nostalgia

    Sedekad Bersama Peminat, MASDO Hadiahkan Malam Penuh Nostalgia

    Malam Merdeka tahun ini diraikan dengan penuh istimewa apabila kugiran retro moden kesayangan rakyat Malaysia, MASDO, menutup tirai bulan Ogos dengan konsert ulang tahun bersejarah “Al-Kisah Kugiran MASDO 10 Tahun” yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur. Dianjurkan oleh penganjur acara ternama Hitman Solutions bersama Kugiran MASDO, konsert ini menjadi sebuah sambutan penuh warna-warni yang menghimpunkan ribuan peminat, mengimbau kembali satu dekad perjalanan muzik MASDO yang sarat dengan nostalgia, kenangan serta suka duka perjuangan mereka dalam industri seni. Lebih daripada sekadar sebuah persembahan, malam tersebut menjadi simbolik perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia melalui penyatuan kuasa muzik.

    Sejak lampu dewan menyala dan sorakan peminat bergema, suasana sudah pun dirasai luar biasa. Sebelum tirai dibuka dengan lagu pembukaan “Teruna & Dara”, layar besar menayangkan paparan visual perjalanan MASDO sejak penubuhan mereka pada 2015. Paparan ini membangkitkan memori indah lalu menghidupkan rasa bangga di kalangan peminat. Dari saat itu, tenaga konsert tidak pernah surut. Lagu-lagu popular seperti “Janji Manis”, “Dinda” dan “Ratu Hati” didendangkan dengan penuh semangat, disambut oleh ribuan suara penonton yang menyanyi seirama memenuhi ruang dewan.

    Konsert ini turut diserikan dengan penampilan artis jemputan yang memberikan sentuhan magis tersendiri. Heidi Moru memukau dengan persembahan “Pujaanku” bersama MASDO, memberikan nafas baharu kepada lagu tersebut. Noh Salleh mencuri perhatian menerusi “Inilah Jalannya” sebelum kembali bersama kumpulannya Hujan untuk mempersembahkan “Janji Manis”. Suasana terus mencapai kemuncak apabila Hujan menggegarkan pentas dengan lagu ikonik mereka “Aku Scandal”. Persembahan turut diperkaya dengan kolaborasi Nisa di biola dan Cakam di kibod dalam “Ratu Hati” yang sarat emosi, manakala Fizan dari Bittersweet hadir dengan “Nearly Near You”, menambahkan lagi variasi dan kekuatan malam itu.

    Susunan khas lagu-lagu ikonik MASDO termasuk “Bunga” dan “Berduka-Lara” melengkapkan perjalanan emosi konsert tersebut. Ketika nota terakhir bergema, ribuan peminat mengangkat telefon bimbit mereka, menjadikan dewan bertukar menjadi lautan cahaya seakan ribuan bintang. Pemandangan itu menjadi simbolik perjalanan MASDO selama 10 tahun, bertepatan dengan semangat Hari Kemerdekaan yang diraikan pada malam tersebut.

    Pengurus MASDO, Cheman, tampil penuh emosi mewakili kumpulan itu dengan menyatakan rasa syukur. Menurutnya, konsert ini bukan sekadar sambutan untuk MASDO, tetapi juga untuk seluruh keluarga besar mereka termasuk para peminat yang sentiasa setia. Beliau menekankan bahawa MASDO bermula dengan impian kecil, dan malam itu menjadi bukti nyata apabila ribuan suara menyanyikan setiap lirik bersama-sama mereka. Katanya, itulah hadiah terindah sepanjang perjalanan MASDO selama satu dekad, dan sokongan peminatlah yang memastikan muzik retro moden terus segar serta relevan hingga ke hari ini.

    Sorakan dan tarian penonton membuktikan betapa kuatnya ikatan MASDO dengan peminat. Ada yang menyifatkan konsert tersebut sebagai sebuah perjalanan ke zaman kegemilangan muzik retro, malah ada yang menobatkannya sebagai konsert terbaik MASDO setakat ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal, turut meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran konsert ini. Beliau menyatakan bahawa malam tersebut membuktikan muzik retro moden bukan sekadar nostalgia, tetapi ia terus hidup, berkembang dan semakin gemilang. Katanya, MASDO telah membina legasi tersendiri dan pencapaian ini juga merupakan detik penting bukan sahaja untuk kumpulan itu, tetapi untuk industri muzik tanah air secara keseluruhannya.

    “Al-Kisah Kugiran MASDO 10 Tahun” akhirnya dikenang bukan hanya sebagai sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan muzik, persahabatan dan kasih sayang yang mengikat MASDO bersama peminat. Diadakan tepat pada malam sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia, konsert tersebut menjadi saksi bahawa selepas sedekad, MASDO masih teguh sebagai kugiran retro moden nombor satu Malaysia.

    Hitman Solutions dan MASDO turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan penaja serta rakan kerjasama yang menjayakan malam penuh istimewa ini. Konsert ini dianjurkan bersama Warner Music Malaysia dengan sokongan Tourism Malaysia, serta diserikan dengan kerjasama media seperti Astro Gempak sebagai rakan media utama, dan Sinar FM, Era FM serta Gegar FM sebagai rakan radio rasmi.

    Untuk maklumat lanjut mengenai konsert dan projek seterusnya, orang ramai boleh menghubungi talian +6012-2655783 atau emel concerts@hitman.group.