Tag: #MarshaMilan #Ungu #Ungu3Dasawarsa #SpecialNightInKualaLumpur #IdeaLiveArena #KonsertUngu #PashaUngu #MuzikNusantara #Konsert2026 #AJL40

  • Konsert Ungu 3 Dasawarsa Janji Malam Penuh Nostalgia Bersama Marsha Milan

    Konsert Ungu 3 Dasawarsa Janji Malam Penuh Nostalgia Bersama Marsha Milan

    Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur bakal menjadi sebuah malam yang sarat dengan nostalgia apabila kumpulan legenda Indonesia itu kembali menghiburkan peminat di Malaysia pada 5 September 2026 di Idea Live Arena.

    Lebih menarik, penyanyi Marsha Milan diumumkan sebagai artis jemputan khas yang akan berkongsi pentas bersama Ungu dalam meraikan tiga dekad perjalanan seni kumpulan tersebut.

    Bagi Marsha, peluang itu bukan sekadar satu persembahan biasa, malah merupakan impian yang akhirnya menjadi kenyataan selepas beliau pernah menyimpan hasrat untuk berduet dengan vokalis Ungu, Pasha.

    Beliau mengakui lagu-lagu Ungu mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam hidup ramai pendengar kerana setiap karya membawa kisah dan kenangan tersendiri.

    “Kalau sebut sahaja lagu-lagu Ungu, memang terus teringat memori. Ramai yang menjadikan lagu mereka sebagai lagu tema perkahwinan, lagu putus cinta, atau teman ketika melalui pelbagai fasa kehidupan. Saya sendiri pun begitu,” katanya.

    Marsha berkata beliau mahu membawa persembahan yang mampu menyentuh emosi penonton, selain menghidupkan suasana menerusi sesi nyanyian beramai-ramai bersama peminat.

    Walaupun jadualnya kini padat dengan persiapan menjelang AJL40, penyanyi itu yakin masih mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan terbaik bagi konsert tersebut.

    Beliau juga mendedahkan bahawa beberapa lagu solo bakal dipersembahkan, manakala lagu duet akan dipilih sendiri oleh Ungu.

    Selain rangkaian lagu-lagu hit yang menjadi kegemaran ramai, peminat turut bakal disajikan dengan sebuah lagu baharu daripada Ungu yang akan dipersembahkan secara eksklusif buat pertama kali di Kuala Lumpur.

    Pengarah Konsert COMs. Creative Studio, En. Zairul Addry Helmy berkata pemilihan Marsha sebagai artis jemputan dibuat kerana kekuatan vokal dan penghayatannya yang mampu memberikan dimensi berbeza kepada keseluruhan persembahan.

    Beliau percaya kolaborasi tersebut akan menjadi antara momen paling diingati pada malam konsert dan berharap peminat tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sambutan ulang tahun ke-30 Ungu secara langsung.