Kumpulan legenda rock tanah air, WINGS, mengesahkan bahawa Konsert Ulang Tahun Ke-40 WINGS akan tetap diteruskan seperti yang dirancang, meskipun dua ahli asalnya, Black (dram) dan Eddie (bass), telah mengumumkan pengunduran diri mereka baru-baru ini.
Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, selaku penganjur dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), konsert bertemakan “WINGS 40: 4 Dekad Terbang Tinggi” itu akan berlangsung pada 28 November 2025 di Idea Live Arena, Damansara. Beliau menegaskan bahawa acara ini akan diteruskan sebagai tanda penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni kumpulan yang menjadi ikon muzik rock Malaysia sejak tahun 1985.
Dato’ Eddy turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Abang Eddie dan Abang Black, sambil mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT. Dalam masa yang sama, beliau menekankan bahawa segala persiapan konsert berjalan dengan lancar dan para peminat boleh menjangkakan sebuah persembahan yang penuh semangat, epik serta sarat dengan nostalgia.

“Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan, tetapi merupakan satu penghargaan kepada nama WINGS yang telah menghiburkan peminat selama empat dekad. Kami mahu memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan indah bersama lagu-lagu ikonik WINGS,” ujar Dato’ Eddy.
Beliau turut memaklumkan bahawa sambutan peminat amat menggalakkan, dengan jualan tiket telah mencecah 90 peratus. Hanya sekitar 10 peratus baki tiket masih tersedia untuk peminat yang belum membuat pembelian. Dengan semangat rock yang tidak pernah pudar, Konsert Ulang Tahun Ke-40 WINGS dijangka menjadi malam penuh makna dan simbol keteguhan semangat muzik rock tanah air.
