Dunia muzik tanah air menerima satu lagi karya kolaboratif yang membawa makna mendalam menerusi pelancaran single “Layar Boneka” hasil gandingan Halim dan rapper berjiwa puitis, Kmy Kmo. Lagu ini bukan sekadar sebuah hiburan semata, malah sarat dengan mesej sosial dan seruan kepada keberanian menegakkan harga diri dalam arus realiti yang mencabar.
“Layar Boneka” merupakan hasil ciptaan Kmy Kmo bersama HMstatenine dan diterbitkan oleh label tersohor Luncai Emas untuk edaran digital. Rakaman dan susunan muziknya menggabungkan elemen pop moden, balada kontemporari serta hip hop Melayu yang menjadikan lagu ini sebuah pengalaman sonik yang menyentuh perasaan. Video muzik rasmi lagu ini juga kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Luncai Emas.
Menurut Halim, inspirasi untuk berkolaborasi dengan Kmy Kmo tercetus setelah mereka bekerjasama dalam produksi program TV ‘Manhajj Mutawiff’ yang diterbitkan oleh syarikatnya untuk saluran Astro Oasis. Halim menyifatkan Kmy sebagai artis rap versatil yang mampu mengangkat suara rakyat melalui bait lirik dan elemen muzik nusantara yang dibawanya.

“Saya memang meminati hip hop dan cara Kmy berkarya ada nilai kejujuran yang saya suka. Saya mahu lagu ini menjadi wadah untuk kita bersuara bukan hanya menyanyi,” jelas Halim.
Bagi Kmy Kmo pula, kolaborasi ini membuka ruang untuk menyalurkan mesej bermakna kepada pendengar menerusi lagu yang menyentuh isu ketidakadilan, stigma dan semangat untuk bangkit daripada kejatuhan. Beliau turut memuji suara Halim yang disifatkannya sebagai sangat sesuai untuk genre rock Melayu, dan kagum dengan semangat Halim yang sanggup mencabar diri dalam dunia muzik.
“Suara Halim ada nilai klasik rock kapak, dan dia seorang yang ikhlas serta berani. Lagu ini bukan hanya untuk didengar, tapi untuk dirasai,” ujar Kmy.
“Layar Boneka” diibaratkan sebagai luahan mereka yang selama ini diam kerana difitnah dan dikecam tetapi kini bersedia berdiri kembali dengan semangat baharu. Dengan barisan produksi yang mantap, lagu ini menjanjikan pengalaman emosi dan estetika muzik yang menyentuh hati.
“Layar Boneka” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Dengarkan dan hayati kisah di sebalik suara ini bukan sekadar lagu, ini suara yang membebaskan.
