KUALA LUMPUR, 12 Februari 2026 – Menyedari kekecewaan peminat di Sabah selepas konsert mereka yang dijadualkan di Kota Kinabalu pada 2024 tidak menjadi kenyataan, Wali Band kembali dengan azam baharu untuk menebus momen yang tertangguh itu. Konsert terbaru bertajuk KONSERT WALI LIVE IN KOTA KINABALU akan berlangsung pada 12 April 2026 di SICC Kota Kinabalu, anjuran 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures.
Band yang dianggotai Faank (vokalis), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) ini menekankan bahawa mereka bertekad untuk mengembalikan kegembiraan peminat Sabah melalui persembahan yang padat dengan lagu-lagu hits serta pentas yang lebih interaktif. Faank menyatakan, “Apa yang berlaku ketika itu berada di luar kawalan kami. Konsert ini adalah peluang terbaik untuk menebus kembali kekecewaan peminat dan memberikan pengalaman hiburan yang terbaik.”

Konsert ini dijangka menampilkan lagu-lagu popular Wali Band dan persembahan pentas yang bertenaga, disokong dengan aspek teknikal yang lebih rapi, termasuk sistem bunyi dan pencahayaan. Tiket mula dijual pada 12 Februari 2026 dengan harga RM688 (VIP), RM488 (Gold), RM288, dan RM98. Peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman sesawang www.ilassotickets.com, manakala informasi terkini boleh diperoleh melalui media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram. Konsert ini turut mendapat sokongan radio rasmi Era FM Sabah, Era Sarawak, dan portal rasmi Astro Gempak.
