Tag: #KonsertLagendaNadaMurni

  • Konsert Legenda Nada Murni: Hijjaz & Rabbani Satukan Irama Nasyid 80-an

    Konsert Legenda Nada Murni: Hijjaz & Rabbani Satukan Irama Nasyid 80-an

    Setelah lebih tiga dekad membawa haluan masing-masing, kini kumpulan nasyid legenda Nada Murni kembali bersatu dalam sebuah persembahan istimewa yang diberi nama Konsert Lagenda Nada Murni. Konsert yang cukup dinantikan ini akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 7 Disember 2025, bermula jam 8 malam.

    Karri Talk Production dan Westzone Entertainment selaku penganjur konsert dengan penuh bangga mempersembahkan malam istimewa ini yang bakal menyaksikan penyatuan semula dua kumpulan terkenal tanah air iaitu Hijjaz dan Rabbani. Kedua-dua kumpulan yang lahir daripada Nada Murni akan tampil di atas satu pentas, membawa penonton mengimbau semula detik kegemilangan era 80-an yang pernah mencetus fenomena dalam dunia nasyid. Lagu-lagu ikonik seperti Di Pondok Kecil, Di Sini Kami Berkumpul dan Tanpa Agama dijangka mengisi malam penuh nostalgia itu, selain persembahan eksklusif daripada artis jemputan Saujana, Akhil Hai dan Pak Dinie yang turut memeriahkan konsert.

    Menurut wakil penganjur Karri Talk Production dan Westzone Entertainment, Konsert Lagenda Nada Murni bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya menjadi detik penuh makna yang menyatukan kembali semangat persaudaraan selepas lebih tiga dekad. Malam tersebut diyakini akan menjadi satu kenangan berharga buat para peminat kerana mereka bukan sahaja akan dihiburkan dengan alunan nasyid syahdu, tetapi juga diberi peluang untuk merasai semangat kebersamaan yang pernah mewarnai dunia muzik tanah air suatu ketika dahulu.

    Konsert selama dua jam ini dijangka menjadi satu pengalaman berbeza kerana ia menawarkan bukan sahaja hiburan tetapi juga pengisian jiwa. Istimewanya, kategori tiket yang ditawarkan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Lelaki, Wanita dan Keluarga, memberi ruang kepada penonton untuk memilih mengikut keselesaan masing-masing. Tiket akan mula dijual secara rasmi pada 26 September ini secara eksklusif di Ilasso Tickets dan Fantopia.

    Kumpulan Nada Murni yang ditubuhkan sejak tahun 1987 pernah mencipta nama besar dalam dunia nasyid tanah air. Berpaksikan semangat dakwah, mereka memulakan langkah dengan membuat persembahan di majlis ceramah sebelum merakamkan album di dalam gelung air di Kampung Sungai Penchala, ketika itu tanpa studio mahupun alat muzik. Nada Murni terkenal dengan lagu-lagu seperti Bila Nur Melimpah Di Hati dan Nun Di Sana sebelum akhirnya berpecah pada tahun 1994, melahirkan dua kumpulan besar nasyid Malaysia iaitu Hijjaz dan Rabbani.

    Konsert Lagenda Nada Murni turut mendapat sokongan daripada Royale Chulan Hotel selaku penaja sidang media, Zayan FM sebagai rakan radio rasmi, manakala Era FM, Sinar FM dan Gegar FM turut menjadi rakan radio. Astro Gempak dan Salam Muslim pula tampil sebagai rakan media digital rasmi.

    Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket, harga ditawarkan bermula daripada RM128 hingga RM258. Konsert ini dijangka mendapat sambutan luar biasa dan tiket berkemungkinan habis dijual dalam masa singkat. Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, orang ramai boleh mengikuti saluran rasmi media sosial Karri Talk Production dan Westzone Entertainment.