Saat menutup persembahan terakhir Tur SAMA SAMA di Bogor pada 24 Mei lalu, salah seorang pemuzik yang terlibat dalam menjayakan pertunjukan berkenaan telah membuat satu janji kepada para peminatnya. “Khabar baiknya adalah kami akan melanjutkan perjalanan. Kita bakal pergi ke Malaysia,” ujar Tulus ketika mengumumkan khabar gembira tersebut kepada ribuan penonton.
Kini, janji itu akhirnya ditepati. Malaysia, khususnya di Idea Live Arena Kuala Lumpur, akan menjadi destinasi kelima dan pertama di luar Indonesia dalam siri Tur SAMA SAMA yang menampilkan lima nama besar dalam industri muzik Nusantara iaitu Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf. Lima figura berbakat besar ini akan berkongsi pentas pada 5 Disember 2025 bermula jam 7.30 malam, menjanjikan sebuah malam penuh harmoni dan kolaborasi istimewa.
Tur SAMA SAMA merupakan hasil penganjuran bersama PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu dan Thrive yang berganding bahu merealisasikan janji persembahan ini ke Malaysia. Menurut Udzir Harris daripada Thrive, pengumuman konsert di Kuala Lumpur ini adalah impian besar yang kini hampir direalisasikan selepas menerima sambutan luar biasa di empat kota Indonesia. Sementara itu, Bram Tulong daripada ExpoIndo menambah bahawa kolaborasi ini merupakan bentuk penghargaan terhadap sokongan luar biasa peminat Malaysia terhadap kelima-lima artis tersebut.
Tiur Tobing dari Tiga Dua Satu turut menegaskan bahawa konsert ini bakal menjadi antara persembahan kolaboratif paling epik tahun ini. Beliau turut menyeru para peminat agar tidak melepaskan peluang untuk membeli tiket lebih awal bagi menyaksikan sebuah persembahan yang dijangka penuh magis dan emosi.

Tiket pra-jualan bagi Tur SAMA SAMA telah mula dijual sejak 29 September 2025, dengan harga bermula daripada RM228. Terdapat 11 kategori tiket iaitu Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite yang boleh didapati menerusi platform BBO Events dan laman web samasamatur.com. Atas permintaan ramai, tempoh pra-jualan telah dilanjutkan dari 19 Oktober hingga 2 November 2025 bagi memberi lebih banyak peluang kepada peminat mendapatkan tempat mereka.
Menurut Sal Priadi, persembahan kali ini akan menampilkan format kolaborasi yang belum pernah mereka lakukan sebelum ini. “Kami sangat tidak sabar untuk berkongsi format dinamik dari solo, duet, trio hingga kuintet. Ini bukan sekadar konsert, tetapi pengalaman muzik yang berbeza,” ujarnya.
Tur SAMA SAMA bukan sekadar mempertemukan lima penyanyi dengan gaya tersendiri, tetapi juga akan menyaksikan mereka saling bertukar lagu dan mempersembahkan susunan muzik baharu yang dicipta khas untuk tur ini. Selepas kejayaan besar di Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor, Kuala Lumpur kini bakal menjadi saksi kepada babak kelima siri konsert yang menggabungkan kreativiti, harmoni dan semangat persaudaraan muzik serantau.
Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Tur SAMA SAMA, peminat disarankan mengikuti laman media sosial rasmi @samasamatur dan @thriveevents_my. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Saksikan Tur SAMA SAMA di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2025 — sebuah malam kolaborasi hebat yang pasti meninggalkan kenangan luar biasa.
