Tag: #KonsertDangdut

  • Ratu Kembali, Irama Menggila

    Inul Daratista bakal menggamatkan Pulau Pinang apabila penyanyi dangdut tersohor dari Indonesia itu kembali ke pentas konsert tanah air menerusi “Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millenial Dangdut Nusantara” yang dijadual berlangsung pada 6 Disember 2025 di Setia Spice Arena. Kemunculan semula Ratu Goyang ini menjadi lebih istimewa kerana selepas hampir dua dekad, beliau memilih Pulau Pinang sebagai destinasi persembahannya, bukan Kuala Lumpur seperti yang sering menjadi pilihan sebelum ini.

    Konsert yang dianjurkan oleh Fajar Baiduri Empire dengan sokongan Istana Budaya menerusi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) ini menjanjikan pengalaman baharu buat peminat muzik dangdut. Dipimpin oleh Encik Mohd Yazid Zakaria, OTM bakal bergabung tenaga dengan 18 pemuzik dan 12 penari ArtisTana, selain kemunculan kumpulan Mohram yang akan menambah kelainan dan warna persembahan. Lebih mengujakan, Inul tidak bersendirian kerana beliau akan turut ditemani oleh dua bintang dangdut Malaysia iaitu Amelina dan Baby Shima. Kehadiran mereka bertiga pastinya membangkitkan aura luar biasa dan menambah kemeriahan suasana pada malam tersebut.

    Inul yang terkenal dengan goyang gerudi penuh bertenaga meluahkan keterujaannya untuk bertemu peminat di utara tanah air. Baginya, Pulau Pinang memiliki keindahan tersendiri dan disifatkan klasik, membuatkan beliau tidak sabar untuk berkongsi pentas bersama para peminat di sana. Menurutnya, selama ini konsertnya hanya tertumpu di Kuala Lumpur atau Genting Highlands, dan pemilihan Pulau Pinang kali ini merupakan sesuatu yang baharu buat dirinya.

    Beliau turut mengajak semua peminat setia untuk bersama-sama bergoyang dan menikmati malam penuh hiburan bersama rakan artis lain. Tiket untuk menyaksikan persembahan eksklusif ini mula dijual pada 9 September menerusi laman sesawang www.myticket.asia. Konsert ini diyakini akan menjadi detik bersejarah, bukan sahaja untuk Inul Daratista tetapi juga buat peminat muzik dangdut di Malaysia yang sekian lama menantikan kepulangannya ke pentas besar.