Tag: #KomunitiAktif

  • PNB Merdeka Ventures Anjur Perlawanan Persahabatan Bersama JPM (Hal Ehwal Agama) di Stadium Merdeka

    PNB Merdeka Ventures Anjur Perlawanan Persahabatan Bersama JPM (Hal Ehwal Agama) di Stadium Merdeka

    Stadium Merdeka menjadi tumpuan hari ini apabila PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV) menganjurkan perlawanan bola sepak persahabatan bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Suasana perlawanan bertambah meriah dengan penyertaan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), selain kehadiran YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad bin Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan PNB.

    Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim yang turut beraksi sebagai pemain sayap kanan berkata bahawa pihaknya komited untuk memastikan Stadium Merdeka terus kekal sebagai ruang komuniti yang aktif serta mampu menyatukan masyarakat, bukan sekadar dikenang melalui sejarah sukan. Beliau menjelaskan bahawa sebagai tarikan utama dalam presint Merdeka 118, stadium ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia untuk pelbagai aktiviti seperti bersukan, beriadah, yoga dan program komuniti lain. Kemasukan adalah percuma dan orang ramai dialu-alukan untuk hadir bagi merasai sendiri pengalaman di stadium tersebut.

    Stadium Merdeka telah dibuka semula pada 17 Ogos 2024 selepas menjalani kerja pemuliharaan secara menyeluruh. Sehingga kini, stadium bersejarah ini terus berperanan sebagai hab komuniti yang aktif dengan penganjuran lebih 200 acara melibatkan bidang budaya, seni, pendidikan, warisan dan sukan. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti serta peluang penyertaan program dengan mengikuti Instagram Stadium Merdeka di @stadiummerdeka. Selain itu, sekolah dan organisasi yang berminat untuk menganjurkan acara di Stadium Merdeka boleh merujuk maklumat tempahan melalui platform tersebut atau menghubungi stadiums@pnb.com.my.