Tag: #KerjayaMasaDepan

  • KSIA Sediakan Studio Profesional untuk Bantu Bakat Bina Kerjaya Digital

    KSIA Sediakan Studio Profesional untuk Bantu Bakat Bina Kerjaya Digital

    KamiSempoi International Agency merancang menyediakan kemudahan studio secara sewaan kepada penstrim langsung yang belum mempunyai kemampuan untuk membina studio sendiri.

    Inisiatif tersebut mengambil kira cabaran kewangan yang dihadapi oleh individu yang mahu memulakan kerjaya sebagai penstrim langsung profesional.

    Penyediaan studio LIVE yang lengkap memerlukan pelaburan besar, khususnya untuk komputer berprestasi tinggi, kamera, kad bunyi, sistem audio dan peralatan teknikal lain.

    Ketua Pegawai Eksekutif KamiSempoi International Agency, Chin Swee berkata, individu yang mempunyai simpanan dan bajet boleh membangunkan studio sendiri.

    Namun, pihaknya mahu menyediakan pilihan kepada bakat baharu yang belum mempunyai modal mencukupi.

    “Untuk menyediakan sebuah studio LIVE yang benar-benar profesional, kosnya besar.

    “Kalau mereka sudah menyimpan dan mempunyai bajet, mereka boleh menyediakan studio sendiri. Tetapi kalau belum mempunyai bajet, kami mahu menyediakan studio untuk mereka,” katanya.

    Studio tersebut akan dilengkapi komputer, dua kamera, sistem bunyi dan keperluan asas untuk menjalankan siaran langsung.

    Langkah itu menjadikan KamiSempoi International Agency sebagai pusat sehenti yang bukan sahaja menyediakan latihan, malah menawarkan kemudahan teknikal kepada individu yang mahu membina kerjaya dalam bidang berkenaan.

    Penubuhan KamiSempoi Premier Academy turut bertujuan mengubah persepsi bahawa pekerjaan dari rumah tidak memerlukan disiplin dan sasaran.

    Chin Swee berkata, ramai individu berminat menjadi penstrim langsung tetapi tidak mempunyai panduan yang jelas.

    “Kita mahu mengubah pemikiran bahawa apabila bekerja dari rumah, seseorang itu tidak perlu mempunyai disiplin.

    “Kalau mahu menjadikannya sebagai pekerjaan tetap, kita perlu bekerja dan belajar,” katanya.

    Menurut beliau, seseorang penstrim langsung perlu mempunyai dorongan, semangat bersaing dan prestasi yang konsisten.

    Akademi itu mahu melahirkan generasi penstrim langsung yang memiliki disiplin, sasaran, daya saing dan kesungguhan untuk membina kerjaya.

    Bidang penstriman langsung juga boleh menjadi pilihan kerjaya kepada individu daripada pelbagai latar belakang, asalkan mereka mempunyai kemahiran komunikasi serta kemahuan untuk belajar.

    Calon tidak semestinya mempunyai pengalaman dalam industri hiburan kerana akademi berkenaan boleh membantu mereka membangunkan kemahiran lain yang diperlukan.

    “Kami mahu membuka peluang kepada mereka yang benar-benar mahu belajar dan bekerja.

    “Kalau ada kebolehan bercakap, berkomunikasi dan menghiburkan orang, kami boleh membantu mereka membangunkan kemahiran lain,” katanya.

    KamiSempoi International Agency mahu menjadi pusat sehenti untuk individu belajar, bekerja dan membina kerjaya sebagai penstrim langsung profesional.

    Dengan komuniti sekitar 4,300 hos di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura, agensi tersebut melihat potensi industri penstriman langsung masih sangat besar.

    Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan penstrim langsung Malaysia yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

    Menurut Chin Swee, perubahan tersebut tidak boleh berlaku dalam satu malam, namun usaha meningkatkan profesionalisme industri perlu dimulakan sekarang.

    Menerusi penganjuran KamiSempoi Golden Award 2025 dan penubuhan KamiSempoi Premier Academy, agensi tersebut bersedia membina generasi penstrim langsung yang lebih profesional, berkemahiran dan bersedia menghadapi persaingan global.