Tag: #Jaqlyn

  • Jaqlyn Jadi Artis Wanita Pertama Awakening Music, Lancar Single “This Is Who I Am”

    Jaqlyn Jadi Artis Wanita Pertama Awakening Music, Lancar Single “This Is Who I Am”

    Awakening Music dengan bangganya mengumumkan penandatanganan artis wanita pertamanya, penyanyi dan penulis lagu berasal dari Austria berketurunan Muslim, Jaqlyn, menerusi pelancaran single sulungnya yang penuh emosi berjudul “This Is Who I Am”.

    Dilahirkan di Graz, Austria, Jaqlyn membawa warisan budaya yang pelbagai dengan darah Austria dari sebelah ayah dan Georgia dari sebelah ibu. Sejak kecil, muzik sudah menjadi sebahagian penting dalam kehidupannya. Diinspirasikan oleh ibu dan neneknya, beliau sering menyanyikan lagu balada daripada ikon vokal terkenal seperti Céline Dion dan Lara Fabian, membina identiti vokal yang kini memikat jutaan pendengar di seluruh dunia.

    Minatnya terhadap dunia persembahan membawa Jaqlyn melalui pelbagai bidang termasuk lakonan dan sukan sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada muzik. Pada September 2024, beliau mencipta kejayaan besar apabila menyertai rancangan The Voice of Germany. Persembahannya membawakan lagu “Nothing’s Gonna Change My Love for You” oleh George Benson menerima pujian sebulat suara daripada keempat-empat juri selebriti. Klip persembahan itu kini telah meraih lebih empat juta tontonan di YouTube, sekaligus memperkukuh kedudukannya sebagai suara baharu yang luar biasa di persada muzik antarabangsa.

    Pada Januari 2023, Jaqlyn memeluk Islam, satu keputusan yang disifatkannya sebagai transformasi besar dalam kehidupan peribadi dan artistiknya. Keimanannya kini menjadi teras kepada karya-karya kreatifnya. Menurut Jaqlyn, memakai hijab tidak pernah menghalangnya untuk terus berani dan kreatif, malah memberikan kekuatan untuk menjadi pemimpin serta pengaruh positif kepada orang lain.

    Kini pada usia 23 tahun, Jaqlyn melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya dengan menandatangani kontrak bersama Awakening Music. Single sulungnya “This Is Who I Am” merupakan hasil penulisan bersama artis multi-platinum Awakening, Maher Zain, bersama pasukan kreatif antarabangsa. Lagu ini mengetengahkan mesej tentang identiti, keimanan, dan penerimaan diri melalui lirik yang puitis dan menyentuh perasaan.

    “This Is Who I Am” membawa pendengar menyusuri perjalanan ketabahan dan keyakinan diri, bermula daripada nada lembut yang mencerminkan kerentanan dan renungan diri, hingga ke korus yang penuh keberanian dengan deklarasi, “Here I stand… This is who I am.” Dalam perkongsian pengalamannya, Jaqlyn menyatakan bahawa proses rakaman lagu tersebut terasa sangat semula jadi dan tulus, seolah-olah ia mengalir terus dari hatinya. Beliau berharap lagu ini mampu memberi inspirasi kepada orang lain untuk menerima diri mereka yang sebenar dan terus berpegang kepada nilai serta kepercayaan masing-masing.

    “This Is Who I Am” memperlihatkan keupayaan vokal Jaqlyn yang dinamik, selain mempamerkan kedalaman emosi dan ketulusan yang jarang ditemui. Sentuhan seninya menggabungkan kelembutan dan kekuatan, menjadikan lagu ini sebagai sebuah karya yang memberi perspektif segar dalam dunia muzik kontemporari berunsur keimanan.

    Pengasas Bersama dan Pengarah Awakening Music, Bara Kherigi, turut menyatakan rasa bangga dengan kehadiran Jaqlyn dalam keluarga besar Awakening Music. Beliau menekankan bahawa mesej dan kesenian Jaqlyn meraikan kreativiti, kekuatan, serta peranan wanita dalam dunia muzik Islam moden, dan pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan muziknya.

    “This Is Who I Am” kini boleh didapati di semua platform penstriman utama di seluruh dunia mulai hari ini, menandakan permulaan perjalanan gemilang Jaqlyn sebagai suara baharu yang membawa harapan, keindahan, dan inspirasi kepada pendengar di seluruh dunia.