Zahra, bintang baharu di bawah naungan Alternate Records & Talents yang juga juara pencarian bakat nyanyian digital XTRA XSTAR, kini hadir dengan single sulung berjudul Janjiku Padamu. Lagu ini tercipta hasil kolaborasi bersama tiga nama besar dalam industri muzik tempatan iaitu Amsyar Sabri, Emeer Bakri dan Anwar Amzah selaku komposer serta penulis lirik.
Membawa genre pop modern ballad dengan gabungan elemen balada moden dan sentuhan klasik, Janjiku Padamu menjanjikan pengalaman mendengar yang segar namun tetap sarat dengan emosi. Lagu ini mengisahkan tentang pasangan yang pernah berpisah tetapi ingin kembali menyambung kisah cinta dengan janji yang lebih tulus dan ikhlas.
Bagi Zahra, menyanyikan lagu ini merupakan pengalaman istimewa kerana ia menandakan langkah pertamanya sebagai penyanyi rakaman. Menurutnya, peluang yang diberikan oleh Alternate Records & Talents sangat bermakna kerana sebelum ini beliau hanya terbiasa menyanyikan lagu-lagu cover. Beliau mengakui perlu memahami lagu ini sepenuhnya dari aspek lirik, melodi dan susunan muzik agar dapat menyampaikannya dengan sempurna.
Proses rakaman dijalankan dalam dua sesi dengan tempoh sekitar empat hingga lima jam. Zahra menyifatkan kerjasama bersama komposer sebagai pengalaman yang menyeronokkan kerana mereka berbakat besar serta mudah bekerja. Lagu ini turut disasarkan kepada pendengar yang menggemari lagu-lagu balada penuh emosi dengan nuansa ala muzik seberang.
Sejak zaman sekolah lagi, Zahra telah menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang nyanyian. Beliau memupuk bakat melalui dunia busking, persembahan korporat, majlis perkahwinan, serta di kafe dan hotel sebelum menyertai pertandingan nyanyian digital anjuran XTRA dan Alternate. Kemenangannya sebagai juara membuka jalan untuknya bergelar penyanyi profesional.
Menurut Amsyar Sabri, lagu Janjiku Padamu terinspirasi daripada pengalaman cinta sebenar yang diterjemahkan dalam bentuk karya muzik. Beliau menjelaskan bahawa keikhlasan dan emosi yang tulus menjadi teras dalam pembikinan lagu ini. Dari sudut muzik, lagu ini menampilkan keunikan melalui gabungan elemen balada moden dan klasik, selain pemilihan instrumen serta kesan bunyi yang menambah kekuatan emosi.
Proses pembikinan lagu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan, manakala sesi rakaman hanya berlangsung selama dua hari. Zahra dipuji kerana memberikan komitmen penuh, efisien, serta memahami kehendak produser sepanjang proses tersebut. Walaupun kedengaran sederhana, lagu ini membawa mesej mendalam agar setiap pasangan menghargai kehadiran dan emosi insan tersayang selagi mereka masih ada di sisi.
Selain bakat nyanyiannya, Zahra memiliki vokal yang unik dengan kawalan nada tinggi yang mantap serta kemampuan mengharmonikan suara dengan baik. Keistimewaan ini menjadikan persembahannya berbeza dan memberi warna baharu kepada industri muzik tempatan.
Janjiku Padamu kini boleh didengarkan di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Lagu ini diyakini mampu menjadi teman buat mereka yang sedang merindui cinta lama atau melalui fasa kehilangan. Zahra tampil dengan keyakinan penuh bahawa single sulung ini akan membuka lembaran baharu dalam karier seninya, sekali gus meletakkannya sebagai bintang baharu yang perlu diberi perhatian.
