Tag: jamalabdillah

  • Malam Amal Night Of Love & Compassion Sumbang Dana Untuk Pelajar Di Besut

    Malam Amal Night Of Love & Compassion Sumbang Dana Untuk Pelajar Di Besut

    Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut Terengganu (TMESA) dengan sukacitanya mengumumkan penganjuran acara makan malam amal bertajuk ‘Night Of Love & Compassion’. Acara ini diadakan untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik, terutamanya di sekitar kawasan Besut.

    Malam amal ini akan menampilkan dua penyanyi lagenda tanah air, Datuk Hattan dan Datuk Jamal Abdillah, yang dijanjikan akan memberikan persembahan yang penuh emosi melalui rangkaian lagu-lagu hits mereka yang masih relevan hingga ke hari ini. Suara merdu mereka pastinya akan menyentuh jiwa semua yang hadir.

    Acara ‘Night Of Love & Compassion’ akan berlangsung pada 14 Disember 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Menurut Presiden TMESA, Dato’ Muhammad Nasir Hamzah, persatuan ini komited dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang memerlukan, terutamanya dari latar belakang yang kurang beruntung.

    “Setiap tahun, kami mengadakan pelbagai aktiviti untuk menyokong anak-anak di sekolah sekitar Besut, khususnya di Sekolah Tengku Mahmud. Dalam dua dekad ini, kami bergantung pada sumbangan ahli-ahli persatuan yang telah bersara, dan untuk itu kami perlu mencipta modal baru. Setelah berbincang, kami sepakat untuk mengadakan acara ‘Night Of Love & Compassion’,” jelas Dato’ Muhammad Nasir.

    TMESA juga berhasrat untuk meneruskan program ‘Sponsor A Student’ (SAS) yang telah memberi manfaat kepada lebih daripada 1000 pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah. “Program ini telah berjalan selama 16 tahun dan telah memberi sokongan kepada pelajar-pelajar yang benar-benar memerlukan. Kami melakukan temu duga sendiri untuk memastikan mereka layak. Ada pelajar yang hanya dapat makan nasi tiga kali seminggu, tetapi mereka sangat bersemangat untuk belajar. Antara mereka ada yang bercita-cita menjadi doktor, peguam, guru, dan ustaz,” tambahnya.

    “Jika acara makan malam ini berjaya, kami menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM1 juta, yang akan digunakan untuk memperbaiki kemudahan di sekolah-sekolah ini,” katanya lagi dengan penuh harapan.

    Dalam pada itu, Datuk Jamal Abdillah meluahkan rasa teruja dapat terlibat dalam program amal ini, bertekad untuk menyumbang demi memastikan pelajar-pelajar ini tidak tercicir dalam pelajaran. “Saya bersyukur kerana bakat yang dikurniakan Tuhan dapat saya manfaatkan untuk mengumpul dana dan membantu mereka yang memerlukan, terutama pelajar-pelajar,” ujarnya.

    Sementara itu, Datuk Hattan menyatakan komitmennya terhadap usaha amal seperti ini. “Saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada program ini. Ini bukanlah kali pertama saya menyertai program amal untuk membantu pelajar sekolah. Sejak awal kerjaya saya, saya berjanji untuk tidak menolak sebarang undangan dari pihak sekolah. Saya memahami kesukaran yang mereka hadapi, kerana saya juga pernah melalui zaman sukar,” katanya.

    Acara ‘Night Of Love & Compassion’ ini akan menawarkan sebanyak 98 meja dengan pelbagai pilihan harga untuk memenuhi pelbagai bajet:

    • Bronze: RM4,000 (20 meja)
    • Silver: RM6,000 (20 meja)
    • Gold: RM8,000 (16 meja)
    • Diamond: RM10,000 (16 meja)
    • Platinum: RM15,000 (16 meja)

    Tempahan dan pembelian meja boleh dibuat dengan menghubungi nombor yang tertera:

    • EN. HATTA: 018 223 9934
    • EN. NIK AHMAD: 019 452 4567
  • Kemeriahan Konsert Divas & Diamonds Tarik 6,000 Penonton

    Kemeriahan Konsert Divas & Diamonds Tarik 6,000 Penonton

    Konsert “Divas & Diamonds,” yang menggabungkan bakat artis dari Malaysia dan Indonesia, merupakan sebahagian daripada inisiatif promosi “Road to Visit Johor 2026” yang bertujuan menarik pelancong dari dalam dan luar negara ke Johor.

    Dianjurkan oleh Mega Eve Sdn Bhd, konsert ini akan menampilkan penyanyi terkenal seperti Datuk Seri Rossa dari Indonesia serta artis tempatan seperti Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, dan Joe Flizzow. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 7 September, pukul 8.30 malam, di Stadium Arena Larkin, dengan anggaran kehadiran sekitar 6,000 penonton.

    Pengarah Tourism Johor, Shahril Nizam, yakin bahawa kehadiran artis-artis ternama dari dalam dan luar negara ini akan merangsang kedatangan pelancong dari Indonesia, Singapura, Brunei, dan negara-negara lain, sekali gus memperkukuhkan sektor pelancongan Johor.

    “Dengan kita bergerak menuju ke ‘Tahun Melawat Johor 2026,’ konsert ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan utama. Konsert ini merupakan acara ‘impact event’ yang signifikan kerana melibatkan artis antarabangsa dengan peminat yang besar,” katanya dalam sidang media mengenai konsert “Divas & Diamonds”.

    Aman Ali, Pengarah Projek Mega Eve, turut menegaskan bahawa konsert ini bukan sahaja akan mempamerkan budaya tempatan, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan pelbagai tarikan di Johor.

    Para pengunjung diharap dapat meneroka tarikan negeri ini, termasuk makanan dan pusat peranginan, sambil menikmati hiburan. Konsert ini juga bertujuan menarik pelancong dari seluruh dunia ke Johor, sekaligus merancakkan industri pelancongan negeri.

    Sebagai tambahan, Tourism Johor sedang melancarkan kempen untuk meraikan 100 tahun pembinaan jambatan Koswe yang menghubungkan Johor dan Singapura.

    Kempen ini bertujuan mencipta persekitaran ekonomi yang lebih lancar untuk peniaga di kedua-dua wilayah. Dengan memanfaatkan kekuatan dan sumber yang ada, inisiatif ini diharapkan dapat memacu pertumbuhan ekonomi Johor dan Singapura, serta meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke Johor menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

    Harga tiket untuk menyaksikan konsert Divas & Diamonds bermula RM288 hingga RM1,288 dan boleh didapati menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my.

  • Jamal Abdillah Kembali Lagi

    KUALA LUMPUR — Datuk Jamal Abdillah mengadakan ‘Konsert Jamal Abdillah LIve In Concert’ baru-baru ini. Konsert ini anjuran Shiraz Projects yang diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Konsert bertambah meriah dengan kehadiran peminat-peminat dari yang tua mahupun muda. 

    Beliau yang  berusia 64 tahun  menyampaikan 21 buah lagu antaranya Azura, Di Sudut Kamar Hatiku, Kehebatan Cinta, Kau Lupa Janji, Penghujung Rindu, Kekasih Awal dan Akhir dan Seniman Menangis.

    Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali turut mengundang anak-anaknya Yamani Abdillah dan Zaki Yamani untuk sepentas bernyanyi bersamanya pada malam konsert tersebut. Bagi meriahkan lagi konsert beliau menjemput anak-anak beliau.

    Selain itu, konsert juga dimeriahkan lagi dengan kemunculan Wany Hasrita dengan kelunakan suaranya dalam menyampaikan lagi duet, Kehebatan Cinta, bersama Jamal Abdillah.

    Apa yang lebih menarik konsert itu mencuri perhatian seluruh penonton apabila dihadiri oleh seorang peminat yang dipanggil opah (nenek), Rohani Abdullah yang berusia 69 tahun dan berasal dari Terengganu. Peminat ini menikmati konsert Jamal dengan bernyanyi bersama-sama.Menceritakan detik pertemuan, Jamal berkata dia bertemu dengan Rohani serta cucunya di Hentian Rehat dan Rawat Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur.

    “Dia beritahu bahawa dia  peminat setia saya dan tidak pernah menonton konsert saya seumur hidupnya.“Jadi, saya terus memberinya tiket VIP untuk menonton konsert saya bersama cucunya, Haikal malam ini.

    “Terima kasih ‘opah’ kerana sudi datang konsert saya malam ini,” katanya sambil turun ke arah opah yang duduk di kerusi baris hadapan pentas. Opah sangat gembira dan menikmati konsert bersama Jamal.