Zepp Kuala Lumpur bergema dengan sorakan dan lautan light stick pada malam Sabtu apabila kumpulan idola wanita Malaysia, KLP48, meraikan ulang tahun pertama penubuhan mereka dengan konsert istimewa bertajuk “〜BLOOM〜”. Persembahan penuh tenaga itu menjadi simbol kematangan kumpulan yang ditubuhkan pada 2024 sebagai adik kepada AKB48 dari Jepun.
Sejak penubuhannya, KLP48 berjaya mencuri hati peminat dari pelbagai latar belakang dengan pesona mesra dan aura bertenaga. Dianggotai oleh 13 ahli serantau termasuk Salwa, Yi Shyan, Lucine, Amanda, Ann Drea, Khalies, Tiffany, Hillary dari Hong Kong, Devi dari Indonesia, serta tiga anggota AKB48 iaitu Yurina, Haruka dan Suzuha bersama Cocoa dari STU48, kumpulan ini menjadi simbol kepelbagaian budaya yang mempersatukan peminat.
Konsert “〜BLOOM〜” yang dianjurkan oleh 48 Entertainment Sdn Bhd tampil dengan tema mekar, melambangkan perkembangan KLP48 yang semakin matang selepas setahun menempuh cabaran. Malam itu dibuka dengan persembahan bertenaga oleh kumpulan wanita tempatan COËX yang menghiburkan penonton dengan lagu “Like Jennie” dan “Just Another Friend”. Suasana terus hangat apabila penyanyi muda Ismail Izzani muncul di pentas dengan rangkaian lagu populernya “Bidari”, “Tenggelam” dan “Luar Biasa”.
Sorakan semakin kuat apabila kumpulan idola Indonesia, JKT48, hadir dengan 12 ahlinya mengenakan gaun berwarna-warni. Mereka mempersembahkan lagu-lagu popular “#Kusangatsuka”, “Rapsodi” dan “Ponytail to Shu Shu”, memukau penonton dengan koreografi yang lincah dan senyuman penuh pesona.

Saat yang paling ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila KLP48 muncul dengan lagu “Oh My Pumpkin!”, diikuti “Aitakatta” dan “Melon Juice”. Zepp Kuala Lumpur bertukar menjadi lautan ombak warna-warni apabila para peminat melambai light stick mengikut irama. Salah satu momen paling mengharukan pada malam itu adalah kemunculan semula Lucine yang kembali ke pentas setelah berehat kerana masalah kesihatan. Buat pertama kalinya, 13 ahli tampil lengkap di atas pentas, membawakan “Shonichi” dan “Namida Surprise” dengan penuh emosi sehingga mengundang sebak dalam kalangan penonton.
Momen nostalgia turut hadir melalui tayangan video khas yang mengimbas kembali perjalanan setahun KLP48, daripada detik debut sehinggalah ke pentas-pentas besar yang pernah mereka tempuh. Paparan suka duka itu membuatkan ramai peminat menitiskan air mata, lebih-lebih lagi apabila ahli KLP48 sendiri menyampaikan ucapan penuh rasa syukur. “Perjalanannya tidak mudah, tetapi kami amat berterima kasih atas sokongan peminat. Ada air mata, ada peluh, tetapi yang paling banyak adalah kegembiraan dan kenangan berharga. Semoga kami dapat terus membawa senyuman dan kekuatan kepada anda semua,” luah mereka sambil disambut sorakan “KLP48!” yang bergema di seluruh dewan.
Konsert diteruskan dengan rangkaian lagu popular seperti “Green Flash”, “Heavy Rotation”, “High Tension”, “Flying Get” dan “Alasanku Maybe”. Persembahan penuh harmoni dengan gerak tari seragam, senyuman tulus dan aura bertenaga itu sekali lagi menegaskan identiti KLP48 sebagai simbol keindahan dan semangat anak muda.
Sebagai penutup penuh gemilang, KLP48 berganding bahu dengan JKT48 untuk mempersembahkan kembali “Oh My Pumpkin!”, kali ini dengan lebih 20 ahli serentak di atas pentas. Adegan itu menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan oleh hampir 2,000 penonton yang memenuhi Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini bukan sahaja menandakan ulang tahun pertama KLP48, tetapi juga membuka lembaran baharu perjalanan mereka. Seperti yang disampaikan sendiri oleh kumpulan itu, “Malam ini bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan menuju ulang tahun kedua. KLP48 akan terus berusaha, melangkah bersama anda semua.”
