Tag: #EmpatLiveInKL2025

  • Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel Cipta Magis Keluarga di Pentas Kuala Lumpur

    Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel Cipta Magis Keluarga di Pentas Kuala Lumpur

    Tibalah hari yang dinanti oleh para peminat muzik tanah air. Tanggal 18 Oktober 2025 menjadi detik bersejarah apabila Empat Live In Kuala Lumpur 2025 berlangsung megah di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Malam yang penuh gemilang itu menyaksikan penyatuan empat nama besar dalam industri seni Anuar Zain, Ziana Zain, Ernie Zakri dan Syamel di atas satu pentas dalam sebuah persembahan yang melangkaui batas hiburan biasa.

    Konsert ini bukan sekadar persembahan nyanyian, tetapi simbol kepada keakraban, kasih sayang dan keharmonian antara empat insan seni yang disatukan dalam satu keluarga muzik. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 menandakan konsert keluarga pertama di Malaysia yang berjaya direalisasikan dengan penuh semangat dan jiwa cinta terhadap seni.

    Sebanyak 21 lagu termasuk beberapa medley dipersembahkan dengan susunan muzik yang indah dan paduan vokal yang luar biasa. Dari lagu-lagu ikonik seperti “Madah Berhelah”, “Keabadian Cinta”, “Hamba Cinta” hingga ke “Sedetik Lebih”, setiap persembahan membawa penonton menyelusuri perjalanan emosi yang sarat dengan nostalgia, kehangatan dan kekuatan vokal yang tiada tandingan. Gabungan suara empat penyanyi hebat ini membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi satu ikatan jiwa yang menyatukan hati para peminat dan penggiat seni.

    Sokongan padu lebih 4,500 penonton yang membanjiri Mega Star Arena menjadi nadi utama kejayaan malam bersejarah ini. Sorakan dan nyanyian bersama menggambarkan betapa kuatnya cinta peminat terhadap karya dan bakat keempat-empat artis ini. Turut memeriahkan suasana ialah kehadiran ramai selebriti tanah air termasuk Misha Omar, Dato’ Hattan, Noryn Aziz, Edry KRU, Dato’ Yusry dan Datin Lisa Surihani yang hadir memberi sokongan kepada rakan seperjuangan mereka.

    Empat Live In Kuala Lumpur 2025 turut menampilkan barisan pemuzik profesional yang diketuai oleh Pengarah Muzik, Sze Wan, dengan Jennifer Thompson bertindak sebagai Pengarah Konsert. Persembahan muzik disempurnakan oleh pemuzik berbakat seperti Ee Jeng di papan kekunci, Ken Chung di bass, Derrick Siow di drum, Wan Gigi dan Marcus Leong di gitar, serta Pa’ang Zaman di perkusi. Bahagian string section pula diterajui oleh Brian Larson, Ergys Koni, Toko Inomoto, Ham Kay Lyn, Amy Lim dan Lee Jin-Yen, manakala tenaga vokal latar dikemudi oleh Jad Lobo, Baby Akmal dan Widy yang menambah keindahan keseluruhan persembahan.

    Konsert ini dianjurkan oleh Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus Prohouse selaku penganjur bersama dan pengurusan konsert. Ia bukan sahaja menandakan kejayaan sebuah persembahan, tetapi turut menjadi bukti bahawa kasih dan semangat kekeluargaan dalam industri muzik Malaysia masih subur dan dihargai. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 akan terus dikenang sebagai malam yang mengukir sejarah satu keluarga, satu jiwa, satu sejarah seni.